George Soros bukan sekutu kami, kata Pakatan Rakyat


Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, Pakatan sama sekali tidak mempunyai kaitan, malah tidak mengenali individu bernama Soros.

Jamilah Kamarudin, FMT

Pakatan Rakyat menyelar dakwaan mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad yang menyifatkan undi kepada pembangkang seperti memberi undi kepada penyangak mata wang antarabangsa berketurunan Yahudi, George Soros.

Perkara itu sama sekali ditepis pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang menyifatkan Mahathir takut kepada Pakatan Rakyat.

“Dia paranoid,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata Pakatan sama sekali tidak mempunyai kaitan, malah tidak mengenali individu bernama Soros.

“Dia (Dr Mahathir) tidak lagi relevan dalam konflik ini kerana ia hanya kata-kata seseorang yang telah nyanyuk,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, kenyataan Dr Mahathir itu hanya mencemarkan nama baiknya sendiri sebagai negarawan dimata rakyat.

Takut bayang-bayang

“Pakatan berpendirian tegas mengutuk tindakan kejam Yahudi ke atas rakyat Palestin. Jadi bagaimana beliau boleh kata sebaliknya pula,” soalnya.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula menyifatkan Dr Mahathir seperti takut kepada bayang-bayang sendiri apabila menjalin persahabatan dengan Soros semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.

“Negara kita tak menerima sebarang bentuk penjajahan asing dan kita sama sekali tak akan mengizinkan isu Soros berbangkit,” katanya.

Manakala Ahli Parlimen DAP-Klang Charles Santiago berkata Dr Mahathir tidak telus mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman Yahudi apabila membenarkan Malaysia menandatangani Perjanjian Dagangan Antarabangsa (FTA).

Menurut Charles, dibawah perjanjian itu Malaysia  boleh diheret ke mahkamah antarabangsa oleh firma gergasi antarabangsa yang dikuasai Amerika dan Kesatuan Eropah (EU) jika wujud sebarang pelanggaran persefahaman yang dimeterai.

“Kalau Tun nak timbulkan pasal isu kedaulatan beliau sepatutnya menghalang negara daripada menandatangani FTA,” katanya.

 



Comments
Loading...