‘Nasha jurucakap Umno dalam Pakatan’
Ketua DHPP, Hu Pang Chow berkata, sepatutnya ahli Parlimen Bachok itu menyertai Umno.
Muda Mohd Noor, FMT
Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) berkata bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa merupakan jurucakap Umno yang berada dalam Pakatan Rakyat.
Ketua DHPP, Hu Pang Chow berkata, sepatutnya ahli Parlimen Bachok itu menyertai Umno.
“Adakah kenyataan ini ada agenda tersembunyi? Kalau dia (Nasha) nak pertahankan Islam, nak tunjuk alim, dia sepatutnya dia perbetulkan orang Umno,” kata Hu.
Nasharudin petang kelmarin dilaporkan berkata, dalam menghadapi PRU13 mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
Beliau yang juga ahli Majlis Syura PAS berkata, dalam konteks politik hari ini, masalah perpecahan umat sering dilupakan sedangkan ia adalah masalah utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Kata Nasharudin, beliau turut hairan mengapa usaha untuk membincangkan masalah umat Islam terutamanya melibatkan dua parti terbesar orang Melayu Islam iaitu parti Umno dan PAS sering dilihat ‘taboo’.
Beliau berkata demikian pada seminar dakwah Islamiyyah sebagai tunggak kekuatan umah di PWTC, semalam.
Menang sendiri
Katanya lagi, kemenangan Islam terletak di tangan umatnya sendiri tanpa bantuan dari bukan Islam. PAS berada dalam Pakatan Rakyat (PR) yang turut dianggotai DAP.
Bagaimanapun, Hu menegaskan jika PAS bergabung dengan Umno ini bermakna parti Islam itu bersekongkol dengan penyalahguna kuasa, rasuah dan kezaliman yang dilakukan oleh Umno.
“Orang Melayu banyak yang miskin, terlibat dengan jenayah dan gejala sosial. Adakah Nasharuddin mahu PAS terbabit sama?” tanya Hu.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dilaporkan mempersoalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri pelancaran buku bertajuk Tinderbox: The Past and Future of Pakistan yang ditulis oleh bekas ahli Parlimen India, Mobashar Jawed Akbar yang dikatakan pernah menghina Islam.Sementara bekas ahli Parlimen PAS Sik, Datuk Shahnon juga mempersoalkan hubungan PAS dengan DAP.