Ada agenda tapi tidak bincang isu Faekah


Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada FMT.

Fazy Sahir, FMT

Walaupun wujud agenda mengenai isu cadangan memecat Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin namun tiada perbincangan lanjut dibuat dalam mesyuarat biro politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada FMT.

Mesyuarat biro politik parti ini merupakan mesyuarat mingguan dan kebiasaannya diadakan pada setiap Rabu.

Isu ini timbul kembali apabila sekumpulan ahli parti di Selangor mendesak agar Faekah dipecat melalui satu sidang media pada Isnin lalu.

Faekah sebelum ini mengulas untuk menyerahkan keinginan ahli parti tersebut kepada PKR Pusat.

Sementara itu, sumber berkata agenda atau usul mengenai pemecatan Faekah ini bukan kali pertama berlaku, namun tiada tindakan drastik diambil mengenainya.

Ini menurut sumber agenda pemecatan tersebut hanya disuarakan oleh sesetengah pimpinan dan ahli bersekutu dan bukannya suara majoriti.

Lebih-lebih lagi ia didakwa membabitkan sesetengah pimpinan tertinggi parti yang tidak mempunyai hubungan baik dengan Faekah.

“Faekah mempunyai hubungan baik dengan Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah) dan Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Yang menentang Faekah hanya segelintir sahaja,” kata sumber.

Umum mengetahui Faekah merupakan bekas pembantu khas Wan Azizah dan kini diberi tanggungjawab membantu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 



Comments
Loading...