Ahli MPK fail saman fitnah terhadap bekas anggota DAP
(Bernama) – Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPK), Lee Kee Hiong hari ini memfailkan saman fitnah terhadap bekas anggota DAP dan Sin Chew Media Corporation Berhad kerana mencetak dan menyiarkan perkataan berunsur fitnah terhadapnya, tahun lepas.
Lee, 46, yang memfailkan saman itu menerusi peguamnya, Lim Lip Eng dan Eric Tan dari Tetuan Stella, Lim & Co. di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, menamakan Yap Kon Min, 65, dan Sin Chew Media Corporation sebagai defendan.
Lee, yang juga ahli jawatankuasa DAP Selangor, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kedua-dua defendan berniat jahat dan secara salah mencetak dan menyiarkan perkataan berunsur fitnah terhadapnya dalam akhbar harian Sin Chew Daily pada 4 Ogos, tahun lepas.
Lee mendakwa perkataan-perkataan itu membawa maksud bahawa beliau adalah seorang penjenayah yang mengakibatkan kematian Teoh Beng Hock, menyeleweng wang Kerajaan Negeri Selangor, terlibat dalam aktiviti rasuah dan menyalahguna kuasa sebagai penjawat awam.
Oleh itu, Lee menuntut satu injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan menerbitkan kenyataan atau perkataan berunsur fitnah terhadapnya, ganti rugi am teruk dan teladan, permohonan maaf secara bertulis oleh defendan untuk diterbitkan dalam semua akhbar, faedah, kos dan lain-lain perintah selanjutnya yang dianggap sesuai oleh mahkamah.