Umno menikus bila berdepan MCA


Pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin MCA yang secara terang-terangan menolak pelaksanaan hudud di negara ini.

(FMT) – Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan Umno menikus apabila berdepan dengan MCA terutama membabitkan isu pelaksanaan hukum hudud.

Menurut Nasrudin, pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin MCA yang secara terang-terangan menolak pelaksanaan hudud di negara ini.

Bagaimanapun, Umno yang pernah dituduh hilang akal juga didakwa gagal mengambil sebarang tindakan berkesan ke atas MCA dengan mengeluarkan kenyataan yang biadap terhadap Islam dan para penganutnya.

“Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada 23 September 2011 pernah menegaskan di hadapan para wartawan, jika Umno melaksanakan hudud, MCA akan keluar Barisan Nasional.

Ekoran ugutan keras MCA itu, sehingga kini Umno terpaksa menikus demi kepentingan survival politik mereka.

“Pada 4 December 2011 , selepas merasmikan Forum mengenai hudud di Wisma MCA, sekali lagi Chua menegaskan bahawa Malaysia akan kehilangan pelabur dan negara akan binasa jika hudud dilaksanakan.

Malah beliau juga menekankan bahawa hudud tidak adil kepada semua khasnya kaum wanita disamping menyebut bahawa undang – undang Islam adalah kejam.

Menambah “kecut”nya Umno berdepan MCA ialah apabila Presidennya menulis dalam twitternya pada 1 Julai 2012 (sebagai respon) kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah yang mencadangkan pelaksanaan hudud di Johor bahawa:

“Adun Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha yang menempelak gara-gara beliau menegaskan bahawa parti itu adalah anti Islam.

Menyifatkan Kong sebagai berpura-pura apabila pemimpin itu mengaitkan DAP sebagai parti yang anti Islam.

“Kenapa pula Setiausaha Agung MCA bertanya demikian? Bukankah pemimpin-pemimpin MCA, terutamanya di dalam media milik mereka The Star, secara konsisten menegaskan kepada masyarakat non-Muslim bahawa undi untuk DAP adalah undi untuk hudud?

“Ertinya MCA seperti mahu mengesahkan bahawa DAP menyokong hudud. Maka apa masalah DAP bersama PAS dalam Pakatan Rakyat  dan apa perlunya PAS menganggap DAP anti Islam pula. MCA yang sangat ketara sikap anti Islamnya.

“Pemimpin MCA juga selalu mengulangi ‘statement’ bahawa “DAP  tunduk kepada PAS,” katanya.

 



Comments
Loading...