Ahli kesal cubaan sabotaj DAP


http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.96269.1350700305!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpgKee Hiong (dua, kanan) dan Samsol (dua, kiri) bersama ahli DAP ketika membuat laporan polis di IPD Kajang, semalam.

(Sinar Harian) – DAP Parlimen Hulu Langat nafi terlibat dalam mencetak dan menampal pelekat berlogo DAP tertulis ‘No Hudud’ di bunting program Pas sekitar kawasan Semenyih dan Kajang, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangannya, Lee Kee Hiong mendakwa wujud perbuatan berunsur hasutan dan cubaan memburukkan nama DAP.

“Kita minta polis siasat dan ambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang sengaja mencetuskan isu agama.

“Pelekat tersebut menggunakan logo DAP tetapi bukan dibuat oleh DAP dengan tertulis ‘No Hudud’ di atasnya. Walaupun DAP membantah negara ini melaksanakan hukum hudud tetapi kita menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Menurutnya, laporan ini dibuat kerana perbuatan ini turut mengganggu ketenteraman awam juga didakwa mempunyai niat jahat untuk menimbulkan ketegangan antara ahli DAP dan Pas.

“Kita ada medium lain untuk suarakan pendirian bukan melalui kerja seperti ini yang tidak bertanggungjawab dan cuba menimbulkan ketegangan antara DAP dan Pas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Hulu Langat, Samsol Bahari berkata, pihaknya mencetak 30 bunting sempena program ‘Himpunan Hijau Jentera Pilihanraya Pas Hulu Langat’ yang dijadualkan pada 14 Oktober lalu khas untuk ahli Pas sahaja.

“Sebanyak 10 bunting ditempatkan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan hanya bunting di kawasan Kajang dan Semenyih sahaja ditampal pelekat dengan logo DAP tertulis ‘No Hudud’.

“Dari segi kualitinya sahaja kita tahu ini bukan dilakukan DAP kerana hubungan antara Pas dan DAP amat baik dan kita percaya ini kerja sabotaj pihak tertentu supaya ahli Pas tidak hadir program dijadualkan,” katanya.

Samsol berkata, jangkaan mereka daripada 72 cawangan Pas yang ada kemungkinan sekitar 300 ke 400 yang hadir namun kehadiran melebihi jangkaan apabila lebih 500 yang hadir pada program tersebut.

“Tindakan pihak yang cuba mensabotaj program ini sebaliknya membangkitkan semangat ahli untuk hadir,” katanya.



Comments
Loading...