Perkasa mohon Raja-Raja turun padang


Memandangkan zaman berubah mengikut arus demokratisasi dan perjuangan hak asasi, Institusi Diraja kini mudah diungkit dan dikritik secara terbuka.

Jamilah Kamarudin, FMT

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memohon perkenan Raja-Raja supaya turun padang lebih kerap dan berjumpa dengan rakyat jelata serta badan bukan kerajaan (NGO).

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, memandangkan zaman berubah mengikut arus demokratisasi dan perjuangan hak asasi, Institusi Diraja kini mudah diungkit dan dikritik secara terbuka.

Namun katanya, dalam perubahan ini hanya masyarakat Melayu sahaja yang masih taat kepada kepada Raja-Raja.

“Bagi memperkasakan Institusi Diraja, Perkasa mohon ampun perkenan mesti turun ke padang dan berdampingan dengan rakyat.

“Kita tahu seperti sebelum ini Sultan Pahang dan Kelantan juga sering melakukannya tapi perlu lebih kerap dan bergaul lebih mesra,” katanya.

Cadangan itu dikemukakan Ibrahim dalam ucapannya di Persidangan Khas Tahunan Perkasa Peringkat Selangor di Dewan Tuanku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini petang semalam.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan Perkasa akan menyokong sepenuhnya calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13 akan datang.

Ibrahim berkata walaupun Perkasa adalah NGO bebas, namun sokongan terhadap parti komponen BN tidak akan berbelah bagi termasuk undi kepada calon MCA.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam ucapannya turut melancarkan boikot dan melarang setiap ahlinya daripada memberikan sebarang kenyataan terhadap portal berita Malaysiakini.

Beliau mendakwa Malaysiakini mendapat pembiayaan daripada George Soros yang juga dikaitkannya dengan NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

“Haram bagi ahli Perkasa bagi kenyataan kepada Malaysiakini. Kita cakap lain dia tulis lain. Kita boikot sampai PRU13,” katanya.

Persidangan itu juga dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang turut menyumbang RM10,000 kepada pertubuhan itu.

 



Comments
Loading...