‘Tanda Putera’ perlu untuk beri peringatan tragedi 13 Mei


Mohd Farhan Darwis, The Malaysian Insider 

Putrajaya hari ini mempertahankan memberi kebenaran kepada tayangan filem  kontroversi “Tanda Putera”, yang memaparkan insiden rusuhan kaum 13 Mei, dengan mengatakan adalah perlu bagi mengingatkan rakyat Malaysia dalam tragedi berdarah pada 1969 itu.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D’cruz berkata kepada Dewan Rakyat kerajaan percaya dengan kematangan generasi muda sekarang, filem itu perlu mengetengahkan paparan sejarah dalam filem secara efektif dan tepat.

“Kementerian berpendapat, dengan kematangan pemikiran generasi muda masa kini, filem sejarah perlu dipaparkan secara paling efektif dan realistik walaupun ada sentuh isu 13 Mei,” katanya lagi.

“Selagi filem belum ditayangkan, andaian filem ini mengandungi unsur perkauman negatif adalah terlalu awal,” kata Maglin ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kelana Jaya Gwo-Burne Loh di sini.

Gwo-Burne Loh sebelum itu bertanyakan kepada kementerian mengapa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengeluarkan pembiayaan kepada penerbit filem berkenaan, Persona Pictures yang didakwa mengeluarkan filem berunsur perkauman tersebut.

Tanda Putera sebelum ini telah menerima tekanan apabila didakwa memasukkan watak pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang dalam filem yang dijadualkan ditayang pada 15 November 2012, daripada tarikh awal 13 September depan.

Pengarah filem berkenaan, Datin Paduka Shuhaimi Baba, sebelum ini bagaimanapun telah menafikan  filem dengan durasi 117 minit itu juga tidak memaparkan mana-mana watak pemimpin DAP sepertimana dikatakan pelbagai pihak, terutama parti politik.

Tambah Shuhaimi, sejak trailer filem ini berdurasi 90 saat tersebar di Internet, banyak tuduhan palsu dan dakwaan yang membingungkan serta tidak berasas telah dilemparkan terhadap mereka.

Shuhaimi dalam penjelasannya berkata, adegan untuk 13 Mei juga dimasukkan sekadar untuk memberikan latar kepada filem berkenaan.

Sehubungan itu, Penasihat DAP itu juga sebelum ini telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan berbaur fitnah, didakwa dibawa oleh Facebook filem berkenaan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini berkata, ekoran dakwaan tidak berasas Penerbit Eksekutif “Tanda Putera”, Aida Fitra Buyong, beliau telah mengarahkan peguamnya memulakan tindakan perundangan berhubung fitnah yang dilemparkan.

 



Comments
Loading...