Dr Asri khuatir PAS tadbir negara


(Malaysian Digest) – Walaupun memegang status parti yang berjuang atas dasar Islam, ulama tersohor negara, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin semalam menyuarakan kerisauan sekiranya PAS mentadbir negara ini.

Bekas mufti Perlis itu melihat masalah PAS sekarang adalah mereka dipimpin oleh golongan ulama, dan tiada siapa boleh menegur kesalahan yang dilakukan oleh ulama mereka.

“Masalah sekarang, PAS belum jadi pemimpin negara lagi.”

“Kalau perkara ini kita tidak bahaskan hari ini, kita akan jadi seperti Iran yang mana Ayatollah tidak boleh disentuh,” katanya.

Asri berkata demikian di ketika diminta mengulas senario pimpinan PAS yang terdiri daripada golongan ulama ketika ini.

Menurut Asri, jika Malaysia tidak berhati-hati dengan mana-mana parti termasuk PAS, maka akan berdepan keadaan negara yang lebih korup.

“Kalau dia (Pas) naik (memerintah negara) dengan mentaliti orang agamanya tidak boleh disentuh, ditambah dengan pemimpin yang ada kuasa politik; dan dia tokoh agama pula, kita akan menghadapi keadaan negara yang lebih korup daripada sekarang,” katanya.

Perkara ini perlu dihapuskan diperingkat awal sebelum berlaku apa-apa perubahan struktur politik di nagara ini,” tambah beliau lagi ketika Wacana Sinar di sini, hari ini.

Sebelum ini Pas telah memecat bekas    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali ekoran mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kepimpinan Pas.

Malah, Adun Gombak Setia itu juga seringkali dibidas oleh pemimpin PR, terutamanya Pas kerana menyatakan parti Islam itu tersasar dari matlamat asal perjuangannya.

Turut menerima nasib sama adalah bekas Timbalan Presiden mereka, Nasharuddin Mat Isa yang mana seringkali mempertikaikan Pas kerana bersekongkol dengan DAP.

Nasha juga dilabel sebagai “barua Umno” kerana seringkali mengeluarkan pendapat dan kenyataan yang seolah-olah menyokong perjuangan parti komponen Melayu dalam Barisan Nasional (BN) itu.

 



Comments
Loading...