‘Kami bukan Ayatollah’, Pas jawab Dr Asri
Nurul Aini Mohamaed Ali, Sinar Harian
Pas memberi jaminan tidak akan sama sekali akan menjadi pemimpin-pemimpin bergelaran Ayatollah Iran jika diberi mandat memerintah Kerajaan Pusat kelak kerana parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.
Sambil menghargai pandangan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pemimpin-pemimpin Pas yang dihubungi Sinar Harian Online berkata parti berusia lebih enam dekad itu tidak pernah mengamalkan pendekatan tutup pintu kepada pandangan dan teguran mana-mana pihak.
Ayatollah adalah gelaran tertinggi diberikan kepada ulama Syiah Iran.
Mengulas teguran Asri itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya diberi mandat memerintah Putrajaya kelak, mereka tidak akan sekali-kali menjadi seperti pimpinan Ayatollah.
Katanya, sedia ditegur dan dikritik akan terus menjadi asas perjuangan parti itu.
“Saya rasa Dr Asri sekadar membuat peringatan yang jujur dan ikhlas, tiada niat lain dan saya hargai peringatan yang diberi itu.
“Jika dilihat sekarang ini pun, media arus perdana hari ini kerap memutar belit fakta yang kami beri, tetapi kami tidak pernah melenting, malah memberi reaksi yang baik dan sentiasa positif,” kata beliau.
Kelmarin, Asri, yang dari semasa ke semasa menganalisis perjalanan politik negara, menggesa Pas agar tidak mengamalkan pendekatan politik negara Teluk itu jika berjaya mandat memerintah Putrajaya kelak.
Bagaimanapun beliau tidak memberi contoh khusus yang berkemungkinan Pas akan menjadi sebagai kepimpinan Ayatollah.
Beliau berkata, kalau ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari sekarang.
“Saya rasa ini satu masalah dalam Pas, masalah sekarang ini, Pas belum menjadi pemerintah, tetapi kalau kita tidak bahas hari ini, kita akan jadi seperti Iran, yang mana pemimpinnya Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh,” katanya.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tidak perlu melihat terlalu jauh atau melihat corak pemerintahan Pas di masa hadapan, corak pemerintahan Pas sekarang ini pun tidak pernah mengambil sikap ‘tutup pintu’ jika dikritik mana-mana pihak.
“Kami pun sedia maklum, bukan semua pemimpin Pas mahir dan arif dalam semua perkara, justeru teguran juga penting,” katanya.
Beliau juga menambah, jika teguran yang dibuat itu merupakan sesuatu yang baik, mereka sedia menerima walaupun berbeza faham politik.
Seorang lagi Naib Presidennya, Salahuddin Ayub turut sepakat dengan Mahfuz menyatakan parti itu sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan daripada mana-mana pihak.
“Berdasarkan pengalaman saya dalam Pas, mana-mana ahli bebas memberi pandangan dan teguran masing-masing kerana kami sentiasa berpaksikan semangat demokrasi.
“Jika dalam mesyuarat perwakilan atau mesyuarat bulanan, semua ahli bebas memberi kritikan kepada pemimpin, tiada masalah,” katanya.
Beliau juga menambah yang rata-rata keputusan yang dibuat oleh parti itu juga adalah berdasarkan teguran.
“Cara ini kami telah amalkan sejak lama dulu dan setakat ini, kami sentiasa terbuka dan saya rasa tidak mungkin kami akat bersikap seperti Ayatollah jika memerintah Putrajaya kelak,” tegas beliau tetapi pada masa yang sama menghargai teguran Asri semalam terhadap Pas.
Katanya, ia satu peringatan positif.