MB S’gor sedia bertanding dua kerusi


Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerusi DUN Ijok yang kini diwakilinya.

Fazy Sahir, FMT

Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kedua-dua kerusi – Parlimen dan Dewan Undangan Negeri – sekiranya dicalonkan oleh parti dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kalau diserahkan tanggungjawab, saya akan bertanding. Namun semua pengumuman ini dibuat oleh Ketua Umum dan Presiden (PKR). Saya tidak boleh campur,” katanya ketika ditemui media selepas hadir di Majlis Hari Raya Aidiladha anjuran Karangkraf hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerusi DUN Ijok yang kini diwakilinya.

Beliau turut menerima baik cabaran oleh Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal bertanding di kerusi parlimen- Bandar Tun Razak.

Beliau berkata tidak khuatir sekiranya bertanding di dua kawasan memandangkan Pengerusi DAP, Karpal Singh turut mengeluarkan kenyataan bahawa Menteri Besar mahupun Ketua Menteri boleh bertanding di dua kawasan/kerusi.

`Saya terima’

“Saya terima baik cabaran itu (pertahan kerusi Bandar Tun Razak) dan pernah kata kepada beliau (Anwar). Ini bagi mengurangkan tekanan kepada Anwar kerana terlalu ramai minta untuk jadi calon di Bandar Tun Razak.

“Namun saya tidak khuatir kerana DAP termasuk Karpal Singh terima hakikat bahawa Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh bertanding di dua kawasan atau kerusi.

“Tak jadi masalah kalau kita lakukannya,” katanya.

Memetik laporan sebuah portal semalam, Anwar mencadangkan Abdul Khalid untuk mempertahankan kerusi Bandar Tun Razak dalam pilihan raya umum akan datang.

Manakala pada 26 Oktober lalu, Karpal singh telah mengumumkan bahawa setiap wakil rakyat dari parti itu hanya boleh bertanding di satu kerusi.

Namun, untuk individu tertentu seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diberi pengecualian.



Comments
Loading...