Ulama PAS jemput Dr Asri berdialog


Dr Asri dijemput oleh Dewan Ulama PAS untuk menyampaikan pandangan dan kritikannya.

(The Malaysian Insider) – Bekas Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dijemput oleh Dewan Ulama PAS untuk menyampaikan pandangan dan kritikannya kepada dewan itu dalam wacana ilmu bersama ahli-ahli Dewan Ulamak.

“Saya merujuk kepada kebimbangan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa ulama-ulama dalam PAS dibimbangi tidak boleh ditegur apabila memerintah kerajaan pusat nanti dalam satu  wacana baru- baru ini,” kata setiausahanya, Dr Mohd Khairuddin A. Razali dipetik daripada laman Harakahdaily.

Menurut Mohd Khairuddin, Dewan Ulama PAS Pusat perlu menyatakan pandangan balas terhadap kenyataan tersebut oleh kerana kebimbangan Mohd Asri dilontarkan dalam wacana awam yang disiarkan isinya dalam media perdana dan mendapat respons umum.

“Dewan Ulama PAS Pusat sentiasa berlapang dada dengan sebarang pandangan, teguran dan kritikan luar terhadap apa jua tindakan yang diputuskan secara jamaei dan pandangan yang dilontarkan oleh Dewan Ulama dengan merujuk kepada al-Quran, al-Hadis, Ijma dan Qiyas di samping pandangan dan ulasan ulamak-ulamak muktabar sepanjang zaman.

“Dewan Ulama PAS Pusat berbesar hati menjemput Mohd Asri untuk menyampaikan pandangan dan kritikan beliau terhadap Dewan Ulamak PAS Pusat dalam wacana ilmu bersama ahli-ahli Dewan Ulamak sebagai satu medan perbincangan dan bertukar-tukar pandangan dan tarikh wacana boleh diberikan berdasarkan kelapangan masa Dr Asri,” katanya.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, bekas Mufti Perlis itu juga meminta PAS agar tidak terlalu bertelagah mengenai jenama Malaysia sama ada Negara Islam atau tidak kerana adalah lebih baik memfokuskan untuk memberi keadilan kepada rakyat berbilang agama.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...