Benarkan Al-Arqam Hidup Semula


(Suara Pakatan Rakyat) – TIDAK semua yang senang dengan tindakan kontroversi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu satu majlis di Rawang kelmarin kerana dikaitkan dengan pertubuhan agama yang diharamkan kerajaan BN, Al-Arqam.  Ramai yang tidak bersetuju dan membantah tindakan JAIS tersebut.

Apatah lagi bila Pengarah Jabatan Penerangan Khas Negeri Selangor, Ustaz Badrolamin antara mereka yang turut ditahan penguatkuasa JAIS dalam serbuan tersebut.

Badrolamin yang merupakan tetamu kehormat majlis tersebut, dikhabarkan turut menganggotai jawatankuasa pengelola majlis itu.

Sumber dari Pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (yang juga Exco Agama) bagaimanapun memaklumkan kepada penulis, Menteri Besar tidak dimaklumkan oleh pihak JAIS mengenai serbuan tersebut dan oleh yang demikian, enggan bertanggungjawab ke atas tindakan jabatan itu.

Ini bukan kali pertama JAIS mencetuskan kontroversi.  Sebelum ini pun JAIS menyerbu sebuah gereja di Damansara Utama kerana mendakwa berlaku majlis memurtadkan umat Islam – dakwaan yang masih tidak terbukti sehingga kini.

Peliknya, pihak gereja tidak pula mengambil tindakan undang-undang ke atas JAIS walaupun gereja adalah kawasan yang berada di luar bidang kuasa JAIS.

Kali ini Al-Arqam pula yang menjadi mangsanya.

Penulis difahamkan, kerajaan negeri Selangor memang menyokong kewujudan semula kumpulan Al-Arqam ini (dibuktikan dengan penyertaan Badrolamin dalam majlis tersebut).

Ia bukan sangat berkenaan dengan ajaran pertubuhan tersebut yang didakwa bertentangan dengan nilai-nilai moral yang biasa seperti bertukar-tukar isteri, arahan terus dari tuhan dan sebagainya, itu Al-Arqam yang dulu.

Al-Arqam yang sekarang khabarnya lebih memberi tumpuan kepada memperkasakan ekonomi jemaah mereka sehingga ke tahap antarabangsa.  Ramai di kalangan ahli kumpulan tersebut merupakan bekas graduan universiti dalam dan luar negara dalam pelbagai bidang.

Selain itu, pengikut kumpulan diketahui sanggup mengorbankan harta benda masing-masing demi menyokong perjuangan pertubuhan yang diasaskan Ashaari Muhammad itu.

Malah, penulis mendengar, Al-Arqam dahulu diharamkan pentadbiran Tun Mahathir Mohammad, kerana Mahathir bimbang populariti Ashaari mampu menggugat popularitinya, bukan sangat berkaitan dengan ajarannya!!

Lagipun, dengan kepakaran ekonomi yang ada di kalangan pengikut Al-Arqam ini, Selangor umumnya dan Rawang khasnya akan menerima manfaat dari kegiatan ekonomi yang dijalankan pihak terbabit.

Maka itu tidak hairan kenapa Rawang yang dulu kurang membangun, kini berubah wajah, berikutan kerancakan kegiatan ekonomi yang antaranya diusahakan oleh kumpulan Al-Arqam ini.

Semua ini adalah justifikasi kenapa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menyokong kebangkitan semula Al-Arqam.

Tapi datang JAIS (yang dikuasai penyokong Barisan Nasional), merosakkan semua usaha oleh kerajaan negeri yang hanya bertujuan untuk memakmurkan Selangor dari segi ekonomi, menggunakan kepakaran anggota pertubuhan Al-Arqam ini.

 



Comments
Loading...