Pemimpin PKR antara ditahan dalam serbuan cubaan hidupkan Al-Arqam


Mohd Farhan Darwis, The Malaysian Insider

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR antara yang ditahan dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap sebuah konsert yang didakwa sebagai cubaan untuk menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam.

Dr Badrulamin Bahron yang ditahan dalam serbuan berkenaan dipercayai merupakan tetamu kehormat sempena sambutan ulang tahun kelahiran pengasas ajaran sesat tersebut, Ashaari Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Dipetik akhbar Utusan Malaysia hari ini, serbuan yang dilakukan pasukan Jais kira-kira jam 10 malam di Bandar Country Homes, Rawang itu bertemakan ‘Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib’ turut dihadiri kira-kira 3,500 orang.

Jurucakap Jais berkata,”konsert ini didapati melanggar arahan mufti di bawah Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu membantu menghidupkan Al-Arqam.”

Cubaan The Malaysian Insider mendapatkan respon daripada Badrulamin berhubung penahanan beliau masih lagi gagal setakat ini.

Al-Arqam telah diharamkan di negara ini pada tahun 1994 kerana dikatakan menyimpang daripada ajaran Islam.

Selepas kematian Ashaari, pengikut ajaran sesat ini pernah mengadakan konsert empat hari  pada 2010 yang menggambarkan Abuya hanya “ghaib” dan akan kembali dalam masa terdekat.

 



Comments
Loading...