Cubaan takutkan orang Melayu


http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.100359.1351911521!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg 

(Sinar Harian) – DAP Selangor mendakwa terdapat usaha pihak tertentu yang cuba memburuk- burukkan parti itu melalui tiga risalah diedarkan kepada orang ramai di sekitar Kelana Jaya.

Setiausaha Pengelolanya, Lau Weng San berkata, perkara itu dikesan apabila pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung pengedaran risalah itu di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini, kira-kira tiga minggu lalu.

Menurutnya, ketiga-tiga risalah itu didakwa cuba memburuk-burukkan Pakatan Rakyat (PR) terutamanya DAP, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Buku Jingga.

Weng San berkata, beliau percaya tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan musuh PR tetapi tidak menamakan mana-mana pihak.

“Saya percaya tujuan risalah ini diedarkan adalah untuk menakutnakutkan pengundi Melayu di kawasan tersebut dengan menyatakan DAP parti rasis dan sebagainya.

“Kerja macam ini hanya akan dilakukan oleh musuh PR kerana kita dapati ia tidak mempunyai nama penerbit dan pencetak pada risalah tersebut,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Selangor, di sini semalam.

Menurutnya, beliau berharap masyarakat tidak tertipu dengan risalah diedarkan itu dan dapat menilai dengan bijak dasar yang PR laksanakan.

Katanya, sebarang isu yang ditimbulkan di dalam risalah tersebut telah dijawab oleh PR sebelum ini.

“Isu-isu dibangkitkan di dalam risalah itu tidak benar kerana kita dah jawab sebelum ini dan sekiranya ada pihak tak berpuas hati lebih baiklah berdebat atau mengadakan perbincangan mengenainya.

“Tindakan seperti ini melambangkan budaya politik tidak beretika dan tidak matang umpama membaling batu sembunyi tangan,” katanya.

Dalam pada itu, Weng San berkata, pihaknya sedang meneliti tindakan selanjutnya yang perlu diambil berhubung pengedaran risalah itu.



Comments
Loading...