Hudud versi PAS, versi Umno?


Chua Soi Lek

Kalau hudud PAS dipolitikkan, mahukah Chua Soi Lek menerima hukum hudud versi Umno?

Setelah puas menghentam dan menghina kesucian syariat Islam menerusi hukum hudud Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mula sedar bahawa dirinya kini tersepit dan bertindak memutar belitkan kenyataannya.

Dalam akhbar milik Umno, Mingguan Malaysia hari ini, Soi Lek dalam kenyataannya menjelaskan pendirian parti perkaumannya mengenai hukum hudud di bawah tajuk ‘Kami hanya tentang hudud versi PAS’.

Di antara lain, beliau berkata, “ketika MCA bangkit untuk menentang perjuangan Enakmen Hudud versi PAS, MCA sebenarnya tidak menghina agama Islam kerana tindakan MCA mempertikaikan perjuangan sesebuah parti politik (PAS) adalah berbeza dengan penentangan MCA terhadap sesuatu agama (Islam).

“Isu ini sebenarnya telah  dipolitikkan dan diputar oleh pemimpin Pakatan Rakyat apabila mereka menganggap sesebuah parti politik (PAS) itu adalah agama Islam,” kata Soi Lek dalam kenyataannya itu.

Sekali lagi Soi Lek mendedahkan kecetekan ilmunya tentang Islam dan lagi banyak beliau mengeluarkan kenyataan tentang Islam dan hukum hudud ternyata terserlah lebih banyak kesalahan dan kesilapannya.

Kenyataan terkini tentang hudud ialah dakwaan beliau bahawa hukum hudud yang mahu dilaksanakan di negara ini adalah hudud versi PAS. Barangkali kenyataan beliau ini dikeluarkan setelah mendapat nasihat daripada para pemimpin Umno bagi meredakan kemarahan umat Islam yang semakin memuncak.

Istilah hudud ‘versi PAS’ ini mula dipelopori oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sekitar tahun 1994 apabila beliau menolak cadangan kerajaan negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan memberi amaran keras.

Dr Mahathir cuba untuk mengelirukan umat Islam agar menerima dakyah beliau bahawa hukum hudud yang mahu dilaksanakan itu adalah hudud versi PAS dan bukan hudud dalam Islam yang sebenar.

Ramai yang terpedaya dan ada yang keliru dengan propaganda Dr Mahathir ini hingga ada yang menganggap hukum hudud ini sengaja dipolitikkan oleh PAS dan bukan tuntutan yang tercatat dalam Al Quran.

Kini Soi Lek mula memutar belitkan kenyataannya apabila mendapati semakin ramai anggota masyarakat Cina yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang hudud dan boleh menerima pelaksanaannya.

Semakin ramai Cina terima hudud

Satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati penerimaan pelaksanaan hukum hudud di kalangan masyarakat Cina meningkat sebanyak 12 peratus.

Kajian persepsi pertama ini dijalankan tahun lepas melibatkan 683 responden Melayu dan 245 responden Cina dan kajian kedua melibatkan 1,041 responden Melayu dan 385 responden Cina.

Kebimbangan Soi Lek ini didedahkan oleh Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chow yang berkata, tindakan Soi Lek itu telah menambah rasa ingin tahu anggota masyarakat Cina tentang hudud.

“MCA cuba fitnah isu hudud hingga menyebabkan rasa ingin tahu masyarakat Cina terhadap hudud semakin bertambah dan inilah masanya untuk pimpinan PAS menerangkan mengenai hudud yang sebenar,” katanya.

Sebenarnya Soi Lek takut dengan pelaksanaan hukum hudud kerana beliau bimbang sokongan masyarakat Cina terhadap partinya yang lapuk itu, lama kelamaan akan terhakis dan lenyap dari muka bumi ini.

Kalau tidak masakan beliau melenting apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat encadangkan bahawa negeri Johor seharusnya melaksanakan hukum hudud untuk semua kaum berbanding dengan Kelantan yang mahu melaksanakan untuk umat Islam sahaja.

Soi Lek menganggap Adun Umno itu sudah hilang akal kerana mencadangkan perkara ini dan ini menyerlah peribadinya yang sebenar,
sikapnya yang anti Islam dan usahanya dalam menyebarkan ‘Islamophobia’.

Hudud versi Umno?

Kalau tidak, mahukah Soi Lek menerima hukum hudud versi Umno kerana Adun yang mencadangkan pelaksanaan hudud di Johor ini adalah datangnya daripada seorang Adun dari Umno, sekutunya dalam Barisan Nasional?

Read more

 



Comments
Loading...