Jais boleh bertindak terhadap Nurul Izzah


Kenyataan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan ajaran tertentu termasuklah orang Melayu adalah salah, kata pengarahnya Datuk Marzuki Husin.

Fazy Sahir, FMT

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengambil tindakan ke atas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sekiranya mempunyai maklumat berhubung kenyataan pemimpin itu dalam satu forum di Subang Jaya Sabtu lepas.

Pengarahnya Datuk Marzuki Husin menyifatkan kenyataan Nurul Izzah bahawa rakyat tidak harus dipaksa mengamalkan ajaran tertentu termasuklah orang Melayu adalah salah.

“(Kenyataan itu) serupa juga dengan kenyataan semua agama adalah sama. Ia salah, mana boleh semua agama sama. Islam lain, Tuhan sudah kata Islam adalah sebak-baik agama.

“Kalau ada rakaman itu minta dipanjangkan kepada kita. Tak semestinya ada laporan, maklumat sudah cukup, kita boleh bertindak. (Setakat ini), kita tak dengar maklumat itu lagi,” katanya pada sidang media di pejabat Jais di sini semalam.

Kelmarin media melaporkan Nurul Izzah ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menjawab: ”Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.”

Badrulamin langgar fatwa

Sementara itu, Marzuki menjelaskan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Badrulamin Bahron ditahan kerana disyaki membantu,  menyokong dan menghadirkan diri dalam majlis sambutan ulang tahun kelahiran pengasas dan pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad, pada Rabu lalu.

Beliau berkata, kehadiran Badrulamin dalam majlis itu sekaligus melanggar Seksyen 12(C), Enakmen Jenayah Syariah Selangor, iaitu melanggar fatwa mufti.

“Bila dia (Badrulamin) hadir dia sudah terikat dengan enakmen,” katanya.

Jais juga tidak menolak kemungkinan pengikut ajaran Al-Arqam berselindung di sebalik nama syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd (Global Ikhwan) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Global Ikhwan pula diasaskan pada 2009 selepas pihak berkuasa mengenakan tekanan ke atas Rufaqa Corporation Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh kumpulan sama pada 2006.

 



Comments
Loading...