Wanita Umno desak Anwar perjelas isu Melayu bebas beragama


(Bernama) – Wanita Umno hari ini mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim memperjelaskan dakwaan bahawa pakatan pembangkang akan memberi kebebasan beragama kepada semua termasuk orang Melayu jika menang pilihan raya umum ke-13.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata maklumat itu juga mendakwa agama bayi tidak akan ditulis pada sijil kelahiran, sebaliknya mereka boleh memilih agama masing-masing apabila berumur 18 tahun.

“Jadi saya nak tanya Anwar selaku Ketua Pembangkang, adakah ini benar,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Dengkil, di sini.

Beliau berkata perkara itu antara yang didakwa dirancang pakatan pembangkang untuk dilaksana jika mereka menguasai kerajaan pusat pada pilihan raya umum nanti.

Shahrizat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan anak Anwar, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa kebebasan beragama seharusnya terpakai kepada semua termasuk orang Melayu.

Kata Shahrizat beliau tidak terperanjat dengan kenyataan Nurul Izzah itu kerana Wanita Umno telah lama mendengar desas-desus perancangan pembangkang berhubung isu tersebut.

Shahrizat berkata sebagai seorang Melayu beragama Islam, beliau amat terguris dan bimbang dengan perancangan itu.

“Mungkin ini usaha untuk tambat hati kaum-kaum lain dan saya percaya kaum-kaum lain juga tidak setuju dengan cara ini kerana ia akan membawa kepada perpecahan orang Melayu dan penghakisan pengaruh Islam di negara ini,” katanya.

Shahrizat turut meminta umat Islam di negara ini agar menimbang sebaik-baiknya perkara itu.

 



Comments
Loading...