Kenapa ambil tanah Yayasan S’gor?


Tempoh kelulusan yang singkat (tidak sampai dua bulan) dibuat secara tergesa-gesa dan meragukan.

Fazy Sahir, FMT

Alumni Yayasan Selangor mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung pemberian tanah lot di Klang yang digunakan untuk mendirikan Pusat Kebudayaan Cina tanpa sebarang perbincangan lebih awal berhubung hal berkenaan.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Saya Anak Yayasan Selangor, Badrulzaman Baharuddin mendakwa urusan pemberian tanah 18.1 ekar itu diluluskan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam waktu yang singkat.

Beliau mendakwa, tanah itu yang dipohon oleh Exco negeri Elizabeth Wong melalui sepucuk surat bertarikh 21 Mac 2011 dan mendapat kelulusan pada 18 Mei tahun yang sama.

“Apa yang menjadi tanda tanya kenapa tanah milik Yayasan Selangor perlu diberikan dan tidak tanah lain? Adakah kerana kedudukannya yang strategik atau ada agenda tertentu untuk merampas aset milik Yayasan secara halus?,” soal beliau.

“Tempoh kelulusan yang singkat (tidak sampai dua bulan) dibuat secara tergesa-gesa dan meragukan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno Selangor petang tadi.

Badrulzaman ingin tahu kenapa tiada perbincangan dengan pihak Yayasan terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

Turut hadir Presiden Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor, Azme Dollah dan Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, Azme turut memohon Kerajaan Pusat untuk memberi perhatian mengenai penutupan asrama Yayasan Selangor di Kuala Lumpur oleh kerajaan negeri.

Menurut Azme, matlamat Yayasan Selangor kini bertukar matlamat dari menjadi pemangkin kepada aktiviti pendidikan anak-anak luar bandar kepada pencairan aset yang sedia ada.

Ini kerana asrama ATDI dan ATPN di Kampung Pandan A akan ditutup selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

“Penutupan kedua asrama ini bertujuan untuk mendapatkan pulangan wang oleh pihak kerajaan Selangor,” dakwa Badrulzaman.

 



Comments
Loading...