Pesakit kanser wajar berehat atau direhatkan


Cancer Cells

ASPAN ALIAS

Saya tidak dapat memikirkan alasan-alasan yang munasabah untuk kita mengekalkan UMNO sebagai pemegang amanah negara kerana segala-gala yang dilakukan dan kegagalan UMNO selama ini sudah ‘terbonggeng’ dan sudah dirasakan oleh semua rakyat. UMNO ibarat pesakit kanser yang ‘terminal’ kerana hampir semua sel-sel dalam tubuh UMNO itu sudah mati. Penyakit kanser ini merupakan satu penyakit dalam mana sel-sel di dalam tubuh kita telah mati dan sel-sel yang masih hidup itu pun akan berbunuh-bunuhan sehingga penanggungnya, ia itu tubuh dan jasadnya mati.
Seperti pengidap kanser, ia akan selalu berusaha untuk mengubati penyakit yang merbahaya itu, tetapi akhirnya tubuh akan mati juga. Pesakit dan pengidap kanser akan melakukan apa sahaja untuk berubat samada menggunakan ubat tradisi atau ubat-ubat moden di hospital-hospital. Selalunya pesakit kanser akan berbuat apa sahaja untuk meneruskan kehidupan. Jika ada yang memberikan nasihat untuk pergi ke tempat-tempat di mana-mana sahaja untuk berubat pesakit atau penjaganya akan pergi untuk memberikan harapan untuk terus hidup.
Tetapi akhirnya pesakit-pesakit kanser yang sudah pulih itu hanya mengalami pemulihan sementara sahaja dan akhirnya mereka akan mengakhiri kalamnya kerana penyakit itu juga. Tetapi saya tidak menafikan yang ada yang selamat sehingga satu jangka yang lama (dengan izin Allah), tetapi lambat launnya pesakit itu akan meninggal kerana penyakit itu.
Begitu jugalah UMNO. UMNO telah mengidap penyakit ini agak lama, tetapi oleh kerana UMNO ini parti kaya-raya dan dipimpin oleh semua pemimpin-pemimpin yang ‘kaya baru’ maka hayatnya telah dapat di sambung kerana yang kaya selalunya akan dapat berubat dan pergi terbang ke seluruh pelusuk dunia untuk berubat. Penyakit kanser UMNO ini sebenar nya sudah lama kerana ramai yang berpendapat ia mula merebak sejak pemerintahan Dr Mahathir. Tetapi UMNO mampu berubat kerana kekayaan pemimpin-pemimpinnya maka UMNO dapatlah untuk terus hidup sampai ke pilihanraya 2008 dahulu walaupun tanda-tanda kematian sudah jelas nampak apabila hilang majoriti 2/3 di Dewan Legislatif Parlimen.
Tetapi seperti yang saya katakan tadi, yang akan membunuh UMNO itu ialah penyakit kanser yang di hidapi selama ini juga. Sebagai pesakit kanser seseorang itu terpaksa berbelanja besar untuk membeli ubat dan membeli ‘supplement’ yang mahal-mahal untuk menyekat kemaraan penyakit kanser itu.
Maka kita sedang melihat bagaimana UMNO terpaksa berbelanja besar untuk merawat penyakit yang di hidapinya itu. Najib terpaksa ke hulu ke hilir serta mundar mandir ke darat dan ke baruh untuk memanjangkan usia parti yang sedang menghadapi penyakit yang serius itu. Sekali Najib melawat jutaan wang ringgit dibelanjakan dan semuanya ini adalah wang rakyat. Seperti yang saya katakan peruntukan besar terpaksa di adakan untuk membeli segala ‘supplement’ yang di katakan baik untuk mengekang penyakit ini dari merebak.
 

 



Comments
Loading...