PAS semakin hilang taring?


Namun persoalan utama di sini, apakah PAS menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat?

Jamilah Kamarudin, FMT

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu mengeluarkan kenyataan mengenai ‘tahaluf siyasi’, satu konsep kerjasama politik antara orang Islam dan bukan Islam.

Dalam perjuangan PAS, Hadi merujuk kepada kerjasama dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PKR dalam agenda menawan Putrajaya.

Bagaimanapun hukum kerjasama politik dalam Islam ini diharuskan dengan beberapa syarat, antaranya pihak bukan Islam itu boleh dipercayai, tidak menggadaikan prinsip Islam atau dasarnya, serta tiada unsur hipokrasi tentang motif sebenar kerjasama itu dijalankan.

Tahaluf itu turut melarang wujudnya penindasan ke atas Islam atau menyebabkan Islam redha dengan penindasan itu sehingga membenarkan berlakunya syirik.

Sebab itulah wujudnya sesetengah pendapat ulamak yang mengatakan pihak Islam perlu mendominasi sekiranya sesuatu tahaluf siyasi dibina.

Namun persoalan utama di sini, apakah PAS menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat? Adakah tahaluf itu dijamin ‘halal’ sepanjang PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP?

Pejuang hal ehwal Islam

PAS pada awal penubuhannya sejak tahun 1951 adalah parti yang memperjuangkan hal ehwal Islam.

Dipimpin golongan ulamak, PAS menjadi parti pilihan bagi orang Melayu yang mengagumi gaya pemimpinnya memperjuangkan dakwah Islam dari sudut politik.

PAS pernah menerima cadangan Umno supaya bersatu membentuk Parti Perikatan (Barisan Nasional) selepas berlakunya tragedi hitam 13 Mei 1969.

Bagi mengekalkan kuota kerusi Melayu di Parlimen, buat pertama kalinya kerjasama politik dijalinkan PAS dengan menjadi salah satu parti komponen BN.

Bagaimanapun ‘tahaluf’ itu tidak kekal lama apabila PAS tersingkir daripada BN selepas berlakunya krisis dalaman sehingga Kelantan diisytihar darurat pada tahun 1978.

Pengalaman pahit itu menjadi pengajaran buat PAS yang sehingga kini kekal dengan pendirian idea gabungan PAS dan Umno selama-lamanya wajar ditolak sama sekali.

Berjuang bersendirian

Selepas sekian lama berjuang bersendirian, PAS kemudiannya mula menerima gabungan Pakatan Rakyat selepas berjaya mempertahankan kubu kuatnya di Kelantan serta peningkatan beberapa kerusi di negeri lain semasa PRU12.

Kejayaan itu juga dijadikan motivasi buat PAS untuk terus mengekalkan tahaluf bersama Pakatan sehingga impian menawan Putrajaya tercapai.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...