PAS bantah konsert Elton John


(The Malaysian Times) – Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan kerajaan sebagai tidak sensitif terhadap masalah sosial yang melibatkan remaja Islam di negara ini ekoran penganjuran konsert penyanyi gay, Elton John di Arena of Stars, Genting Highlands pada 29 November ini.

Nasrudin Hassan Tantawi

Katanya, kerajaan haruslah melaksanakan tanggungjawab dengan lebih peka dan menghalang segala faktor yang menyebabkan peningkatan berlakunya gejala sosial di negara ini.

“Kerajaan nampaknya tidak sedar terhadap gejala sosial yang melanda negara sedangkan konsert sebeginilah yang menjadi punca kepada kerosakan remaja seperti pergaulan bebas, gejala arak, dan  ditambah lagi dengan kemunculan pengamal seks sejenis.

“Konsert sebegini boleh membawa kemudaratan dan saya sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana masalah sosial remaja di negara ini dapat dikurangkan sekiranya pihak berkuasa tidak menyekatnya dari awal,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Times (TMT) di sini hari ini.

Nasrudin berkata, pihaknya akan menyerahkan bantahan terhadap penganjuran konsert tersebut kepada kerajaan meskipun pihak penganjur berkeras untuk meneruskannya.

“Kami akan menggunakan pendekatan menyerahkan memorandum bantahan terhadap konsert tersebut kepada pihak kerajaan. Ini adalah salah satu langkah yang kami ambil untuk menghalang peningkatan gejala sosial di negara ini daripada terus meningkat.

“Apa pu, kami akan teruskan dengan kerja-kerja dakwah kami dan sentiasa memberi peringatan kepada semua umat Islam terutama golongan remaja agar tidak melibatkan diri dengan gejala-gejala yang mengheret diri ke lembah maksiat,” jelasnya.

Penganjuran konsert itu turut dibantah Ahli Parlimen (PAS) Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang berpendapat bahawa konsert itu tidak sewajarnya dianjurkan kerana ia bakal menyebabkan berlakunya masalah pergaulan bebas.

Khalid Samad

Katanya, PAS sememangnya tidak membantah masyarakat untuk berhibur namun kami semenangnya tidak menyokong aktiviti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Konsert sebegini sememangnya tidak wajar diadakan agar golongan muda tidak terpengaruh dengan budaya yang ditonjolkan. Walaubagaimanapun, konsert ini bukan anjuran PAS, dan kami akan mengambil langkah yang sewajarnya supaya masalah sosial di negara ini terus meningkat,” ujarnya.

Tahun lalu, Pemuda PAS turut menghalang konsert rock Elton yang diadakan di tempat yang sama atas alasan penyanyi itu adalah gay namun konsert itu tetap diteruskan dan mendapat sambutan hangat dari semua golongan masyarakat.

Untuk rekod, Elton terkenal dengan lagu hits seperti Candle In The Wind, Rocket Man, Levon dan Your Son” telah mendirikan rumah tangga dengan rakan homeseksualnya David Furnish pada 21 Disember 2005, selepas kerajaan Britain membenarkan perkahwinan sejenis.

 



Comments
Loading...