Surat ICAC tidak membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman, perlu isytihar penyumbang RM40 juta


http://i967.photobucket.com/albums/ae159/Malaysia-Today/rafizi_ramli.jpg 

Saya menegaskan pendirian saya bahawa surat yang disebut oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan itu tidak membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman, sebaliknya menguatkan pandangan bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa Malaysia. 

Rafizi Ramli, Pengarah Strategi Keadilan 

Saya merujuk kepada laporan oleh Clara Chooi yang disiarkan pada 27 November 2012 oleh The Malaysian Insider bertajuk “ICAC Letter Shows Musa Aman Cleared of Graft Last December”.

Laporan itu memetik kenyataan Dato’ Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud bagi pihak Dato’ Seri Musa Aman bahawa kes telah ditutup oleh ICAC Hong Kong berdasarkan satu surat yang dihantar secara peribadi kepada Dato’ Seri Musa Aman.

Berdasarkan laporan tersebut, saya ingin menegaskan beberapa fakta berikut:

1.      Surat yang diutuskan oleh ICAC itu sekali-kali tidak menyatakan bahawa Dato’ Seri Musa Aman dibersihkan dari tuduhan rasuah, atau membayangkan bahawa ICAC yakin Dato’ Seri Musa Aman bersih dari rasuah seperti yang cuba diwar-warkan oleh Umno/Barisan Nasional.

2.      Surat itu hanya memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat-maklumat yang ICAC perolehi setakat itu, ICAC mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman.

Jika Dato’ Seri Musa Aman tidak bersetuju dengan fakta-fakta ini, maka wajarlah beliau mendedahkan kandungan keseluruhan surat tersebut, bukannya menggunakan Dato’ Abdul Rahman Dahlan untuk menyampaikan secara lisan sahaja kepada wartawan.

Keputusan ICAC untuk tidak meneruskan siasatan berdasarkan maklumat-maklumat yang mereka perolehi setakat itu menimbulkan lebih banyak persoalan. Ia juga menguatkan pandangan beberapa pihak bahawa ICAC tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak berkuasa Malaysia untuk meneruskan siasatan kerana mereka tidak mempunyai kuasa menyiasat dan mengumpulkan bukti.

Oleh yang demikian, mereka bergantung sepenuhnya kepada Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan bukti.

Kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros baru-baru ini bahawa pihak berkuasa Hong Kong mengambil keputusan untuk menghentikan siasatan berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia mengesahkan bahawa tangan ICAC terikat dari meneruskan siasatan.

Oleh yang demikian, saya menegaskan pendirian saya bahawa surat yang disebut oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan itu tidak membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman, sebaliknya menguatkan pandangan bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa Malaysia.

Saya dan pasukan dari KEADILAN (YB William Leong, YB Hee Loy Sian dan YB Chang Lih Kang) sedang giat mengumpulkan bukti termasuk penyata-penyata kewangan dan urusniaga di Hong Kong untuk dilaporkan kepada ICAC agar siasatan baru dibuka, seperti persetujuan dengan ICAC baru-baru ini.

Rombongan kami akan menemui ICAC pada 11 Disember 2012 dalam kunjungan yang kedua.

Saya juga menggesa Dato’ Seri Musa Aman supaya tidak terus mengheret Umno ke dalam permasalahan peribadi beliau. Cara terbaik untuk membersihkan nama beliau adalah dengan mengisytiharkan secara terperinci maklumat sumbangan RM40 juta yang diterima beliau, termasuklah:

§  Siapa yang menderma/memberi sumbangan?

§  Apa hubungan penderma/penyumbang ini dengan beliau dan Umno?

§  Apa kontrak-kontrak atau konsesi yang pernah diberikan kepada penderma/penyumbang ini?

§  Di mana wang itu disimpan dan atas nama siapa?

Saya percaya maklumat-maklumat di atas bukan sahaja dituntut oleh rakyat Malaysia, malah turut ditanya oleh pimpinan Umno sendiri.

Apabila Umno/Barisan Nasional menyerang pimpinan KEADILAN bersabit sumbangan (termasuklah isu bas jelajah Merdeka Rakyat dan penggunaan jet peribadi), pimpinan KEADILAN yang terbabit dengan segera mengisytiharkan butiran penyumbang, supaya rakyat dapat menilai sendiri sama ada berlaku unsur salah guna kuasa.

Sikap yang sama perlulah juga ditunjukkan oleh Dato’ Seri Musa Aman, jika beliau benar-benar yakin tidak ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di dalam kes sumbangan RM40 juta kepada beliau/Umno seperti yang didakwanya.

Kegagalan beliau berterus terang akan terus memanjangkan kes ini dan saya akan terus menumpukan perhatian untuk mendapatkan maklumat dan bukti baru untuk dibentangkan kepada rakyat.

Sebab itu, saya tidak sedikit pun merasa tergugat dengan ancaman tindakan undang-undang seperti yang disebut oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan. Saya yakin saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan bersedia untuk mempertahankan kes yang saya bawa di mahkamah pada bila-bila masa.

Persoalannya: Apakah Dato’ Seri Musa Aman bersedia untuk bertemu di mahkamah dan mendedahkan butiran penderma-penderma beliau di mahkamah seperti mana bersedianya saya?

 



Comments
Loading...