Amaran 13 Mei bukan ancaman


Namun perbezaan ideologi antara parti dalam Pakatan Rakyat menjadi faktor utama yang mampu menggugat kestabilan negara, kata Muhyiddin Yassin.

Jamilah Kamarudin, FMT

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan parti itu tidak akan membenarkan peristiwa hitam 13 Mei berulang kembali.

Namun beliau tidak menjamin perkara yang sama tidak akan berlaku sekiranya kuasa pentadbiran Pusat beralih tangan kepada Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).

Ini kerana menurut Muhyiddin, perbezaan ideologi antara parti dalam Pakatan menjadi faktor utama yang mampu menggugat kestabilan negara.

“Maksud kita keadaan akan jadi porak peranda (kerana) pertembungan ideologi yang besar. Bayangkan kalau mereka duduk semeja, bagaimana nak capai keputusan tadbir negara pada lima tahun akan datang?

“Di peringkat negeri yang mereka kuasai pun ada pertembungan yang nyata…konflik agak jelas,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataannnya itu sekaligus mempertahankan ucapan dasar Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semalam mengenai kemungkinan berulangnya tragedi tahun 1969 jika Umno kehilangan kuasa selepas PRU nanti.

“Jika kita tidak lagi ditampuk kuasa, maka kestabilan politik negara akan goyang. Pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara kita tidak akan senang.

“Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969,” kata bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata ucapan Shahrizat itu bukan berniat untuk menakutkan rakyat, sebaliknya satu peringatan tentang impak negatif sekiranya Pakatan menguasai Putrajaya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...