SPR bidas Kelab Umno Glasgow, undi pos pelajar luar negara sudah dibenarkan


Mohd Farhan Darwis, The Malaysian Insider

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menjelaskan badan pengurusan pilihan raya itu sudah membuka sistem pengundian secara pos kepada pelajar luar negara sekaligus membidas kenyataan Pengerusi Kelab Umno Glasgow Siti Hawa Abu Bakar yang mengatakan SPR belum membuka undi pos untuk kategori pengundi tersebut.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menjelaskan, 80 peratus daripada 5,000 pelajar di Scotland layak mengundi menentukan kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

“Peraturan 3(1)(a), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan bahawa mana-mana warganegara yang telah mendaftar sebagai pemilih (pengundi) berhak untuk mengundi secara pos sekiranya mereka termasuk dalam salah satu daripada kategori seorang Pengundi Tidak Hadir (PTH).

“Manakala PTH sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Peraturan 2(e) dan (f), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 ialah warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan sedang belajar sepenuh masa di mana-mana universiti, maktab latihan atau institusi pendidikan tinggi di luar negara dan pasangan iaitu isteri atau suami masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, beliau berkata, untuk memudahkan urusan pendaftaran pemilih rakyat Malaysia di luar negara termasuk pelajar-pelajar sepenuh masa, SPR melantik pegawai-pegawai di Pejabat-Pejabat Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi dan Konsulat Jeneral di Luar Negara sebagai Penolong Pendaftar Pemilih (PPP).

“SPR juga telah mempermudahkan urusan penghantaran borang pendaftaran pemilih (Borang A) melalui kaedah-kaedah pemohon boleh menghantar  sendiri semua dokumen kepada Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR di pejabat-pejabat Perwakilan di luar Negara

“Pemohon juga boleh menghantar semua dokumen secara pos kepada Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR di pejabat-pejabat Perwakilan di luar Negara; atau pemohon boleh menghantar semua dokumen melalui Wakil iaitu pemohon lain yang hendak menghantar sendiri permohonan kepada Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR di pejabat-pejabat Perwakilan di luar Negara,” katanya lagi.

Bagi pelajar sepenuh masa, Borang A yang telah dilengkapkan perlu disertakan dengan salinan kad pengenalan atau passport antarabangsa dan salinan kad pelajar atau surat pengesahan sebagai pelajar sepenuh masa.

Kenyataan itu juga menjelaskan, mana-mana pihak yang inginkan maklumat lanjut, rakyat Malaysia yang belajar di luar negara boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my.

 



Comments
Loading...