Geng Gunting Rambut: Jangan Bermain Api Di Kelantan


Orang Islam atau orang Kelantan terkenal dengan sikap terbuka dan ‘tasamuh’ mereka di dalam politik. Mereka bersedia membuka pintu negeri mereka untuk didatangi sesiapa saja. Sikap keterbukaan ini menunjukkan keramahan orang Kelantan, atau sifat suka meraikan orang ini, baik tetamu atau perantau. Sebab itulah terdengar saja siulan si musafir di kejauhan, suri di dapur sudah menanakkan pulut untuk dihidangkan.

Kerana sikap inilah menyebabkan ada orang luar atau bukan anak Kelantan datang bertanding di Kelantan mencuba nasib untuk jadi wakil rakyat di negeri ini. Tidak perlu disebut nama-nama mereka satu persatu. Kehadiran mereka dan berjaya menjadi wakil rakyat adalah bukti jelas orang Kelantan (dalam hal ini Pas) sedia menerima orang luar dan bekerjasama dengan sesiapa saja.

Tetapi rasanya bukan baik kalau orang luar mengambil kesempatan atas keterbukaan orang Kelantan itu. Jangan salah digunakan sikap rendah diri orang Kelantan sewenengn-wenengnya. Sebaliknya hargai sifat rendah diri orang Kelantan selunaknya.

Bak kata orang tua-tua, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita kena berjasa. Dan kenanglah kepada pulut ditanak untuk diberi makan kepada si dagang. Dan ingatlah juga orang Kelantan sama sekali tidak meracun musuh di dalam makanan, jauh sekali bertindak menikam musuh dari belakang kecuali saing sendiri yang melakukan kadas beris dan cas kenting sesama sendiri.

Kedatangan dua tiga orang Cina dari parti Gerakan dari Negeri Sembilan ke negeri ini dua tiga hari lepas dengan tujuan hendak menujuk gedebe dan mencabar Majlis Perbandaraan Kota Bharu (MPKR-BRI) berhubung Undang-Undang Kecil PBT terhadap salun rambut itu, rasanya tidak wajar. Tindakan mereka datang bergunting rambut secara terbuka dengan pendandan rambut wanita Cina itu tidak sepatutnya berlaku dan ia adalah sikap samseng dan aksi melampau.

Benar seperti kata Exco Kelantan Dr Mohd Fadzli Hassan, tindakan mereka itu mengilankan hati rakyat Kelantan dan kerajaan sendiri. Belum pernah berlaku sebelum ini ada orang luar yang datang mencabar secara terang-terang terhadap undang-undang dan rukun hidup rakyat negeri ini. Wajar kalau tindakan mereka dikatakan samseng atau lebih teruk dari itu. Orang yang tidak reti budaya dan cuba melakukan sesuatu yang kurang ajar di negeri orang lain patut dikenakan tindakan dan dikutuk.

Apa yang berlaku itu ia bukan satu provokasi yang baik dan merupakan sikap politik yang sihat dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang masyarakatnya majmuk. Tindakan itu boleh menyebabkan berlaku sesuatu yang tidak baik. Tindakan Cina Gerakan Negeri Sembilan itu boleh difahami ia adalah bermotif politik. Tetapi cara berpolitik begitu adalah tidak baik kerana ia melampau.

Apa kata kalau ada orang Islam gila di Kelantan sewaktu mereka membuat cabaran itu? Di Kelantan ini kena beringat sedikit kerana ramai juga orang Islam gila yang sedia bangkit membela agama dan maruah mereka.

Seperti mana kata Cina itu tujuan mereka berbuat begitu mahu melihat sejauh mana kekuatan undang-undang kecil MPKB-BRI dalam membenteras maksiat atau dalam kata lainnya menyusuri perlembagaan negara. Dengan berbuat demikian – mendandan rambut, mereka berharap akan disaman oleh MPKB. Ekoran itu pula mereka akan membawa kes itu ke mahkamah dan mahu mahkamah membuat pengadilan sejauh mana benar dan betulnya undang-undang berkenaan.

Kalau itulah tujuannya, sebenarnya tidak payah datang ke Kelantan semta-mata untuk mencabar MPKB. Cina Gerakan itu boleh bawa kes yang berlaku sebelum ini ke mahkamah untuk menentukan sejauh mana kebal atau pun tidaknya undang-undang berkenaan. Bukankah sebelum ini MPKB sudah pun menyaman pekedai yang tidak mematuhi peraturannya? Ambil dan bawalah kes itu.

Geng gunting rambut itu tidak payah datang dan menunjuk berani dan henalan di Kota Bharu. Mereka boleh membuat kenyataan akhbar dari jauh saja mengenai isu berkenaan. Apabila mereka datang sendiri ke Kota Bharu menempuk dada dan membuat kenyataan berupa cabaran, ia adalah satu sikap biadap yang boleh ditafsirkan sebagai datang untuk menjual berani, dan perbuatan mereka itu sangat sensitif dan merbahaya kerana orang Kelantan adalah pembeli berani yang mewah.

Kita hendak tanya apakah yang mereka perjuangkan dengan tindakan itu? Apakah mereka hendak membela kelompok Cina yang ada dan hidup di Kelantan? Rasanya kalau itulah tujuannya ia tidak payah kerana kerajaan Kelantan memahami hakikat itu dan sudah lama menjaga kehidupan orang Cina. Orang Cina tidak akan lapar dan papa selama mereka bermukim di Kelantan kerana orang Kelantan sangat toleran berasaskan agama dan budaya mereka. Orang Kelantan tidak payah bagaimana untuk memberi makan kepada musafir sebab mereka sudah terbiasa sangat.

Apa lagi Pas sebagai parti Islam senantiasa mengambil berat kepada keadilan dan hak asasi manusia tanpa mengira warna kulit. Apa yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan ke atas rakyat kaum lain di negeri ini adalah jaminan seperti mana dituntut oleh Islam. Sejarah klasik bagaimana orang Kelantan begitu mesra dan baik dengan orang Cina, semasa berlaku peristiwa 13 Mei 1969 tidak ada setitik darah Cina di Kelantan yang menitis ke bumi, bahkan mereka dilindungi.

Dengan situasi dan keistimewaan itu apa lagi yang orang Cina Kelantan mahukan? Layanan seperti apa lagi yang diingini? Bukan tidak boleh bermain politik, tetapi jangan melampau. Bagaimana pun saya masih percaya Cina di Kelantan memahami apa yang diamal di negeri ini tetapi apa yang menajdi masalah Cina luar yang masih asing atau tidak pernah menikmati budu, ataupun mengenali apa itu kapak jangok.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...