Hak DAP untuk pilih calon PM mereka, kata Mustafa Ali
Md Izwan, The Malaysian Insider
Setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang hadir sebagai pemerhati pada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hari ini berkata DAP berhak menyatakan calon perdana menteri mereka sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Pengerusi DAP, Karpal Singh pagi tadi dalam ucapannya menyatakan sokongan dan memilih ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM.
“Itu adalah hak DAP untuk nyatakan secara terbuka calon pilihan perdana menteri mereka,” kata Mustafa (gambar).
Beliau yang ditemui media selepas sidang media juga memberitahu PAS masih belum memutuskan tentang siapa pilihan mereka untuk mengisi jawatan penting tersebut.
“Berbeza dengan DAP, kami (PAS) tidak memutuskan siapa lagi calon dan tidak menyatakan secara terbuka mengenai perkara itu.
“Lagipun pilihan raya belum mula lagi, malahan kita belum tahu lagi calon itu (Anwar) akan menang atau tidak,” jelas beliau.
Mustafa berkata keputusan muktamad hanya boleh diputuskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia.