Wan Ismail: Pas perlu keluar PR jika mahu laksana hudud


(Sinar Harian) – Pas perlu keluar daripada pakatan pembangkang jika mereka benar-benar mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini, kata bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan Wan Ismail Wan Ahmad.

Beliau berkata, kepimpinan Pas perlu mengambil langkah tegas untuk keluar daripada pakatan pembangkang sebagai menterjemah dasar parti untuk melaksana undang-undang Islam jika diberi kepercayaan mentadbir negara.
   
“Kalau betul-betul nak buat negara Islam jangan bersekongkol dengan bukan Islam,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
   
Wan Ismail berkata sehingga kini tiada sebarang usaha dijalankan Pas untuk menegakkan undang-undang Islam itu, sebaliknya sering mencanangkan perkara itu apabila menjelang pilihan raya umum untuk meraih sokongan pengundi.
   
Akhbar hari ini melaporkan Penasihat DAP Lim Kit Siang menegaskan asas parti itu mendekati dan bekerjasama dengan Pas dalam pakatan pembangkang bukan kerana negara Islam atau hudud, tetapi atas prinsip menggalakkan demokrasi, pluralisme, kepelbagaian budaya, hak asasi manusia, hak-hak wanita dan pembangunan negara.
   
Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh pula menegaskan beliau konsisten menolak isu hudud dan penubuhan negara Islam kerana mahu menjaga kepentingan parti, prinsip dan akar umbi parti.

 



Comments
Loading...