PAS: Tiada kerusi tambahan bagi DAP di Selangor


(The Malaysian Insider) – PAS Selangor bertegas tiada kerusi tambahan di negeri ini yang akan diberikan kepada DAP, kata timbalan pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad.

Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini sudah berbincang dan mendapat keputusan sebulat suara mengenai jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh setiap parti dalam pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.

“Pembahagian kerusi untuk PRU 13 di negeri ini sudah 99 peratus selesai, kerusi di tempat lama tidak banyak perubahan dan kekalkan status quo macam dulu.

“Sekarang tinggal enam minggu lagi, kami fokus untuk menang, bukan waktu untuk bergaduh sesama calon merebut kerusi,” kata ahli dewan undangan negeri (Adun) Cempaka itu dipetik dari Sinar Harian Online.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa PR menimbangkan untuk memberi mereka tambahan tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi dewan undangan negeri (Dun) semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak mereka pula akan berbincang sesama sendiri dalam pembahagian kerusi.

“Kami sasar tiga tambahan kerusi Parlimen dan 10 kerusi Dun di semenanjung.

“Manakala Sabah dan Sarawak pula akan berbincang sesama sendiri dalam pembahagian kerusi,” tambah beliau.

Semasa PRU 2008, DAP berjaya menang 28 kerusi Parlimen dan 71 kerusi Dun serta menguasai negeri Pulau Pinang yang dikuasai oleh parti Gerakan sebelum ini.

Semalam, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tuntutan tambahan kerusi oleh DAP untuk ditandingi pada PRU ke-13 nanti jelas menunjukkan pakatan pembangkang tidak mempunyai persefahaman.

Beliau berkata Umno mahu tahu jawapan pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap permintaan sekutu mereka itu.

“Kalau mereka dapat cari persefahaman di mana mereka boleh beri lebih banyak kerusi (kepada DAP), saya ucap tahniah kepada mereka,” katanya dipetik dari Bernama, ketika diminta mengulas Lim itu.

 



Comments
Loading...