Pergerakan Penyatuan


Muhammad Shahid bin Shahizam, 16 years old

Sudah 55 tahun Malaysia mencapai sebuah kemerdekaan, membawa rakyatnya ke arah kemajuan dan kemakmuran tanpa mengira pegangan agama dan bangsa. Selama 50 tahun juga, parti-parti politik di Malaysia bergandingan bahu membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang maju dan gah di persada antarabangsa. Walaupun berbeza ideologi dan prinsip, itu tidak menjadi alasan bagi mereka sebagai pemimpin untuk memimpin Malaysia dengan penuh keadilan dan kewibawaan. Biarpun bangunan Parlimen yang menjadi medan perdebatan mereka, itu tidak dapat mengusarkan semangat mereka untuk berjuang, mencipta perubahan bukan sahaja kepada diri mereka sendiri tetapi kepada seluruh penduduk Bumi yang digelar rakyat Malaysia.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, segala-segalanya berubah.

Sebuah negara yang memiliki parti-parti politik yang saling berkerjasama membangunkan Malaysia, yang saling bantu-membantu ketika ditimpa cabaran sama ada yang kecil ataupun besar hancur berkecai ditelan sifat tamak kuasa, dengki-mendengki, tuduh-menuduh, dan benci-membenci tanpa menghiraukan suara rakyat yang WAJIB didengari oleh setiap parti politik yang wujud di Malaysia.

Kini, tajuk-tajuk utama media massa sama ada media kerajaan ataupun pembangkang hanya dipenuhi oleh berita-berita yang penuh dengan kebencian dan permusuhan yang mampu mengajar generasi akan datang untuk saling benci-membenci dan bermusuhan walaupun dengan ahli keluarganya sendiri. Dimanakah sifat saling berkerjasama antara kerajaan dengan pembangkang ketika pemimpin-pemimpin kita yang dahulu kala berkuasa atau ia sudah tidak penting lagi bagi mengaut keuntungan untuk diri sendiri sahaja?

Dimanakah semangat ‘bagaikan aur dengan tebing’ yang wujud dalam kalangan parti-parti politik ketika didatangi oleh gelombang cabaran daripada pelbagai arah mampu menepis cabaran tersebut sebagai sebuah komuniti dan negara atau ianya hanyalah kisah-kisah pari- pari terbang di awan yang membiru yang diceritakan kepada kanak-kanak sahaja?

Sungguh pelik melihat tingkah laku pemimpin kita tanpa mengira parti politik hidup mewah, dikelilingi oleh kekuasaan, masih mampu tersenyum sedangkan di luar sana, lebih daripada satu juta rakyat Malaysia sedang hidup dalam kesusahan, memikirkan cara untuk mendapatkan duit bagi membayar cukai untuk menampung hidup para pemimpin kita itu.

Apakah mereka sudah berfikir yang semua rakyat yang berada di bawah naungan mereka itu sudah senang-lenang seperti mereka? Ya! Memang mereka sudah pergi ke kampung-kampung melihat warga desa, ke pendalaman melihat orang asli tetapi mereka tidak merasai kesusahan mereka kerana mereka tidak melaluinya, para pemimpin kita tidak melaluinya!

Mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah yang mempunyai standard dan kualiti yang tinggi tetapi mereka lupa anak-anak rakyat mereka sedang bersekolah di sekolah kerajaan yang masih tidak mempunyai infrastruktur yang baik serta memiliki sistem pendidikan yang berkesan mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang berguna walaupun sudah diiktiraf mempunyai standard antarabangsa.

Jikalau para pejuang kemerdekaan negara kita dihidupkan kembali, mereka pasti menangis melihat tingkah-laku pemimpin sekarang, mereka pasti sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku sekarang di tanah air tercinta ini.

Sudah lupakah kita akan kegemilangan yang pernah nenek moyang kita cipta dahulu? Sejarah yang unik tertulis sendiri oleh bangsa kita, Melayu Islam, yang mencipta tamadun yang disegani di serata dunia, menguasai perdagangan antara dunia Timur dengan dunia Barat, menbina kapal layar yang meredah lautan yang luas dan buas sehingga ke benua Afrika, dan mencipta teknologi yang menundukkan bangsa Eropah ke tahap yang paling rendah ketika mereka menjejakkan kaki mereka ke tanah air kita tetapi itu cuma hanyalah tinggalan sejarah, yang ditulis di atas buku-buku sejarah yang tersimpan rapi di muzium, yang dikisahkan kepada kanak-kanak dan apabila tamat diulang, diulang, dan diulang kembali. Kalau begitu, takkanlah mustahil untuk giliran kita pula yang mendatang, tamadun kita yang lama dahulu yang indah gemilang hidup semula, kembali segar bugar, terbentang di bumi Allah yang luas ini.

Tidak kisah sama ada kita mempunyai prinsip ataupun ideologi yang berbeza, itu tidak bermakna kita perlu membelakangkan nasib agama dan bangsa kita. Apa salahnya parti-parti politik kita bersatu dan berdiri di atas laluan yang sama? Tidak salah! Jikalau ada terdapat kesalahan di pihak yang lain, pihak yang lain boleh membetulkannya, ini tidak mustahil untuk dilakukan apabila prinsip persaudaraan yang diajarkan Nabi Muhammad s.a.w diterapkan dalam diri masing-masing.

Apakah kebaikan yang kita dapat kalau kita bersatu dengan golongan yang terang-terangan tidak mengucap dua kalimah syahadah? Tidak ada! Ini bukan berkenaan dengan kerajaan ataupun pembangkang tetapi ini berkenaan nasib agama dan bangsa yang menguasai bidang politik di Malaysia ini. Jangan hanya disebabkan kuasa dan kemewahan, pemimpin-pemimpin kita, sama ada kerajaan ataupun pembangkang, bergaduh dan menyalak seperti serigala pada waktu malam tanpa ada kebaikan yang tersirat, saling fitnah-menfitnah antara satu sama lain sedangkan suara rakyat diketepikan seperti sampah di tepi jalanan.

Jikalau pemimpin-pemimpin kita tidak mahu berubah maka kita yang akan membawa perubahan itu. Serulah kepada bangsa kita, bangsa Melayu untuk bangun dan berdiri bersatu di atas laluan yang sama, menuju ke arah matlamat yang jelas, membina kembali tamadun kita, menjadi bangsa yang gah kembali bukan sahaja di Nusantara tetapi di atas bumi Allah ini!

Ini adalah mengenai masa depan negara kita, wahai Melayu Islam! Sudah pasti kita tidak mahu lagi melihat bangsa kita menjadi bahan ejekan dalam kalangan bangsa yang menguasai ekonomi tanah air kita, sudah pasti kita tidak mahu lagi anak-anak kita ketinggalan jauh dalam pelajaran taktala bangsa yang menguasai ekonomi tanah air kita berjaya mencapai menara gading dan menguasai segala-galanya. Sudah sampai masanya kita untuk bangkit dan bersatu menguasai kembali kesemua bidang sama ada dari segi pendidikan sehinggalah ekonomi daripada bangsa yang telah menjadikan kita pengemis di tanah air kita sendiri.

Wahai Melayu Islam! Sudah sampai masanya parti-parti politik kita bersatu di bawah satu panji membawa perubahan, mengubah nasib bangsa kita, mencipta sejarah tersendiri, dan membuktikan kepada dunia yang kita pun mampu melakukan apa yang mereka fikir mustahil untuk kita lakukannya! Bangkit dan bersatulah!

——————————

Peringatan

‘Wahai para pemimpinku, tidakkah kamu bersalah akan dirimu, tidakkah kamu rasa malu terhadap Tuhan yang telah memberi kamu rezeki, yang membenarkan kamu tinggal di bumi-Nya, tidakkah ada satu perasaan menyesal terhadap apa yang telah kamu lakukan itu?

Wahai para pemimpinku, aku tidak kisah dari mana parti politik kamu, selagi kamu berkuasa, selagi itu banyak kerosakan akan kamu lakukan. Aku merayu kepada kamu sebagai seorang rakyat yang masih menulis pena di sekolah, yang masih mencari tujuan hidup yang sebenar untuk kembali ke jalan yang mempunyai matlamat hidup yang jelas, untuk kembali menjadi seorang pemimpin yang benar-benar memiliki sifat sebagai seorang pemimpin yang adil dan berwibawa.

Aku tidak mampu menentang kamu kerana kamu adalah golongan yang berkuasa tetapi aku juga tidak mampu melihat kamu terus-terusan melakukan dosa-dosa yang mampu menghancurkan hidup kamu, aku sudah tidak mampu lagi melihatnya!

Aku tidak mahu harta kamu, aku tidak mahu kekuasaan kamu itu, aku cuma mahu melihat kamu berubah agar negaraku ini selamat daripada sifat-sifat buruk kamu itu. Aku cuma meminta itu sahaja dari kamu, wahai para pemimpinku!’ 

 



Comments
Loading...