Anwar: DAP mahu kerusi lebih tidak munasabah
Permintaan DAP untuk lebih kerusi parlimen dan DUN masih lagi di peringkat perbincangan jawatankuasa perundingan Pakatan Rakyat.
Fazy Sahir, FMT
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika permintaan DAP yang mahu mendapatkan lebih kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang adalah tidak munasabah kerana ia tidak akan diterima baik.
Menurut Anwar, baik PKR, DAP mahupun PAS permintaan untuk mendapatkan lebih kerusi adalah dibenarkan terutama apabila parti berkenaan mempunyai peluang baik untuk memenangi kawasan tersebut.
Namun ujarnya, perkara itu belum sampai ke pengetahuan beliau dan masih dalam peringkat perbincangan oleh Jawatankuasa Perundingan.
“Pembahagian kerusi sudah selesai 90 peratus. Cuma ada beberapa kerusi di Pulau Pinang (1), Kedah (1), Perak (2). Ada sikit di Sabah dan Sarawak. Namun keseluruhannya 90-95 peratus dah selesai.
“Dalam tradisi Pakatan kita akan bincang namun akhirnya peringkat jawatankuasa yang akan buat keputusan. Secara rasminya ia belum sampai kepada saya.
“Pertambahan dan pengurangan kerusi bagaimanapun akan dibuat berdasarkan prestasi parti dan kawasan mereka pada 2008. Tetapi kita juga sentiasa mengelak perbincangan terbuka kerana ia akan merumitkan negeri dan parti masing-masing,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.
Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata partinya mahu tambahan 13 kerusi iaitu tiga kerusi Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang.
Pertambahan 13 kerusi itu katanya adalah atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pada pilihanraya umum 2008, DAP menang 28 kerusi parlimen daripada 82 kerusi keseluruhan yang dimenangi Pakatan Rakyat.
Anwar ulas kekalahan calon Melayu