PRU 13: Antara strategi BN dan Pakatan Rakyat
Umno/BN juga akan mengambil pendekatan meletakkan calon bebas untuk memecah undi di kebanyakkan kawasan Pakatan Rakyat.
Kalakau Untol, Free Malaysia Today
Formula Satu Lawan Satu dalam Pilihanraya Umum ke 13
Satu lawan satu adalah formula yang terbaik dan berjaya meletakkan Pakatan Rakyat ke landasan yang kukuh menumbangkan kerajaan Umno/BN pada PRU ke 12. Di Semenanjung sahaja negeri yang diterajui Umno/BN di lima buah negeri telah tewas. Jesteru strategi pucuk pimpinan Pakatan Rakyat kini cuba dan berusaha dengan lebih gigih menjadikan agar formula satu lawan satu menjadi realiti. Samada menampakkan strategi ini berjaya atau sebaliknya, penulis ingin menyingkap dan berkongsi kebarangkalian bagi dijadikan perhitungan dan pertimbangan pengundi menilai dan memuktamadkan pilihanraya umum ke 13 nanti.
Strategi Umno/BN
Barisan kepimpinan Umno/BN akan menggunakan pelbagai cara helah bagi memungkinkan kejayaan kemenangan dengan mengupah parti-parti politik dan calon-calon mereka agar dapat bertanding di kawasan-kawasan di mana Pakatan Rakyat bertanding dengan tujuan memecah undi bagi memberi kelebihan dan kemenangan kepada pihak Umno/BN. Selain itu Umno/BN juga akan mengambil pendekatan meletakkan calon-calon bebas bagi usaha memecah undi di kebanyakkan kawasan yang berpotensi Pakatan Rakyat untuk menang. Ini jelas pada pilihanraya umum tahun 2008 di mana kebanyakkan kawasan Umno/BN telah meletakkan tajaan mereka. Setiap satu undi yang didapati oleh parti-parti di luar Pakatan Rakyat dan calon-calon bebas adalah satu hadiah `bonus’ kepada Umno/BN. Ini satu kebarangkalian dan strategi untuk mematikan undi kepada Pakatan Rakyat dan ternyata amat berjaya dan mustajab.
Pertahanan dan perkakasan Umno/BN
Bagi memulakan gerakan strategi kotor Umno/BN akan menggunakan pelbagai muslihat dengan mengaburi mata pengundi di mana Umno/BN menggunakan jentera-jentera Biro Tata Negara melalui saluran agensi kerajaan Kemas,Jati atau Tekun dengan mengedarkan mesej-mesej hasutan kepada kakitangan–kakitangan kerajaan di mana mereka akan dikenakan tindakan disiplin mahupun ditukarkan ke jabatan-jabatan lain ataupun ke tempat –tempat yang jauh dan terpencil serta juga akan mengugut suami atau isteri dipisahkan melalui teknik “politic of fears”.
Dalam masa yang sama Umno/BN akan menggunakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai pintu mengeluarkan kad pengenalan Mykad kepada pendatang-pendatang tanpa izin seperti Bangaladesh, India, Pakistan, Filipina dan Bugis dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi sah. Sudah tentu kenyataan yang dikeluarkan dari kementerian dan JPN yang bertanggungjawab akan menafikan segala tindakan teknik kotor ini. Ini nampak jelas ketika era rejim pemerintahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri kini yang diterajui kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Penipuan ini bukan lagi setakat di Sabah sahaja tetapi telah menjalar ke seluruh pelusuk Semenanjung.
Peranan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)
Bagi menjayakan kesinambungan talian hayat pemerintahan Umno/BN, peranan Suruhanjaya Pilihanraya akan memastikan segala tindakan halus kotor Umno/BN akan berjaya dilaksanakan. Cara yang terbaik adalah memanipulasi daftar pengundi dengan menggunakan daftar pemilih yang belum lagi digazetkan. SPR akan menggunakan daftar pengundi yang berlainan ketika waktu pembuangan undi. Antara lain penipuan SPR adalah dengan memindahkan pengundi-pengundi dari satu kawasan mengundi ke lokaliti yang lain tanpa pengetahuan pengundi itu sendiri, mendaftar pengundi yang diragui sebagai pengundi sah,menambah dan mendaftar sebahagian besar anggota rela sebagai pengundi pos dan banyak lagi jenis penipuan.
Strategi Pakatan Rakyat
Dalam keadaan sebaik mungkin formula satu lawan satu adalah jalan terbaik bagi memastikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat. Oleh itu melalui pelbagai saluran maklumat, Pakatan Rakyat melalui unit media haruslah menyampaikan mesej secara meluas mengenai kesedaran supaya mesej satu lawan satu dapat menyuntik dan memahat ke pemikiran pengundi. Ini jelas terbukti apabila formula satu lawan satu telah berjaya dibuktikan di Semenanjung. Melihat kepada kesatuan inilah, kesepakatan menumbangkan Umno/BN berhasil. Pada tahun 2008, semasa PRU 12 , formula satu lawan satu tidak menjadi di Sabah kerana tidak wujudnya persefahaman dan permuafakatan di kalangan parti-parti yang bertanding dan menampakkan suasana gelanggang pertandingan adalah “Free for all to contest”. Hakikatnya Pakatan Rakyat atau pembangkang kecundang.
Dalam hal ini, Pakatan Rakyat mesti melahirkan dan menerapkan mesej yaitu ‘Mana-mana calon Bebas atau calon-calon dalam parti’ yang tidak bernaung di bawah Pakatan Rakyat adalah dilihat sebagai `agen pemecah undi’ bagi pihak Umno/BN. Tujuan yang disampaikan adalah jelas iaitu perjuangan kali ini adalah untuk perjuangan rakyat dan menumbangkan kerajaan Umno/BN yang zalim dan autokratik.
Jesteru, rakyat jelata mesti dimaklumkan dalam penegasan mereka mengenai “siapa agen pemecah undi’ yang berselindung disebalik pelbagai slogan rakyat. Jika rakyat menyedari hal ini ianya akan mengkukuhkan lagi pendirian mereka ke arah perubahan kepada kerajaan baru Pakatan Rakyat.
Read more at: http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2012/12/20/pru-13i-antara-strategi-bn-dan-pakatan-rakyat/