Bersih 2.0 gagal mengetengahkan isu sebenar pilihan raya, kata bekas pengerusi SPR


(The Malaysian Insider) – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) gagal mengetengahkan isu yang sebenar pilihan raya di Malaysia walaupun mereka tahu apa yang mereka mahu kata bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

“Sebab mereka tidak kemukakan apa yang mereka mahu. Mereka hendak undi pos dikaji, ini semua kecil.

“Bagi saya, ia tidak membantu untuk memperkuatkan amalan demokrasi. Ia hanya merubah sedikit tatacara atau pun prosedur,” katanya beliau dipetik dari Sinar Harian Online.

Menurut Abdul Rashid lagi, tuntutan Bersih 2.0 hanya bersifat “quick fix” dan tidak menyentuh perubahan struktur.

“Tetapi Bersih (2.0) ini khusus untuk kita buat perubahan pada sistem pilihan raya dan mereka tidak berapa mengerti agaknya, tuntutan-tuntutan itu nampaknya tidak menyeluruh.

“Saya kaji juga tuntutan-tuntutan ini dan mereka tidak mendesak dilakukan suatu perubahan yang menyentuh struktur.

“Maknanya seluruh undang-undang itu dikaji. Bukan satu dua tempat. Ini macam kita tukar bateri, tukar ‘spark plug’, tukar minyak hitam, ‘quick fix’ ini (sebenarnya) boleh mendatangkan masalah yang lebih besar. Yang dasarnya tidak berubah.”

Beliau bersara sebagai pengerusi SPR selepas pilihan raya umum (PRU) 2008 yang menyaksikan berlakunya tsunami politik apabila buat pertama kalinya Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen.

Abdul Rashid juga melahirkan rasa terkejutnya selepas meneliti tuntutan Bersih 2.0 walaupun menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut terdiri daripada orang hebat dan peguam ternama.

“Tuntutan-tuntutan itu nampaknya … apabila anda buat tuntutan itu, kerajaan respon, itulah yang dibuat menerusi PSC, itu yang dibuat. Jadi tuntutan mereka telah dipenuhi.

“Tapi kita tahu, Bersih hendak lebih daripada itu. Mereka tidak mahu PSC. Mereka mahu suruhanjaya yang betul-betul bebas dan adil,” katanya.

 



Comments
Loading...