Konvoi Oren NS: 2 cedera, cermin kereta pecah


Insiden berlaku berhampiran simpang masuk ke Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Tampin apabila kira-kira 100 orang penduduk tempatan yang membawa bendera BN menghalang peserta konvoi seramai 200 orang meneruskan perjalanan.

Zefry Dahalan, FMT

TAMPIN: Konvoi Oren “Selamatkan Felda” peringkat Negeri Sembilan semalam tercemar apabila dua peserta konvoi cedera dan cermin sebuah kereta pacuan empat roda milik peserta  turut pecah.

Insiden berlaku berhampiran simpang masuk ke Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Tampin apabila kira-kira 100 orang penduduk tempatan yang membawa bendera BN menghalang peserta konvoi seramai 200 orang  meneruskan perjalanan.

Menurut Pengarah Program Konvoi Oren Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli; ketika peserta konvoi baru sahaja sampai di lokasi, sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu dan batu meluru kepada sebuah kereta pacuan empat roda yang berada di paling hadapan.

“Mereka memecahkan cermin kereta di hadapan dan kedua-dua cermin tingkap sebelah kiri kereta dengan kayu.

“Sebenarnya tindakan lelaki-lelaki yang membawa bendera BN dan Umno ini adalah satu tindakan yang salah.

“Menyedari bantahan daripada mereka, kami tidak masuk ke Felda Bukit Rokan Utara, sebaliknya hanya berunding untuk menggunakan jalan besar tersebut untuk ke Felda Jelai.

“Sebaliknya mereka mencederakan dua orang lelaki.

“Seorang cedera di kepala dan seorang lagi di kening. Saya juga kecewa dengan pihak polis yang hanya melihat insiden itu berlaku dan tidak menghalang lelaki-lelaki yang mencetuskan provokasi dari awal lagi,” kata Abdul Rahman yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Jempol..

Noraza Muda cedera di kepala sementara Razali Rashad di kening. Kedua-dua mereka dipukul dengan kayu oleh dua lelaki yang tidak dikenali di jalan utama berhampiran simpang masuk Felda Bukit Rokan Utara.

Konvoi Oren NS dibatalkan

Berikutan kejadian itu Noraza, Razali dan kepimpinan PAS dan PKR yang menyertai konvoi itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Jempol di Bandar Seri Jempol.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman ketika mengadakan sidang akhbar tergempar di hadapan IPD Jempol, berkata peserta konvoi berkereta itu hanya berhasrat memasuki kawasan Felda untuk seketika, memberikan sedikit ucapan ringkas dan mengedar risalah.

“Saya kecewa dengan pihak polis yang hanya memerhatikan sahaja kejadian peserta konvoi kami diserang.

“Saya mendapat maklumat, bahawa di lokasi seterusnya iaitu di Felda Jelai, mereka menunggu kami dengan besi, kayu dan batu.

“Mengambil kira keselamatan peserta dan saya tidak mahu lebih ramai tercedera, saya mengambil keputusan untuk membatalkan konvoi ini’” ujar Mazlan.

Halangan di Felda Kepis dan Felda Bukit Rokan Barat

Sebelum itu, konvoi Oren dihalang masuk di Felda Kepis oleh lebih 100 penduduk tempatan dan tidak dibenarkan masuk oleh hampir 80 penduduk Felda Bukit Rokan Barat.

Kepimpinan PAS dan PKR hanya memberi ucapan ringkas dari atas sebuah kenderaan pacuan empat roda di tepi jalan utama dan beredar ke Felda Bukit Rokan Utara sebelum insiden buruk itu berlaku.

Jika tidak kerana insiden peserta Konvoi Oren diserang dan tercedera, sepatutnya peserta dengan 80 kenderaan meneruskan konvoi ke Felda Jelai, Felda Palong 4, 5 & 6, Felda Lui Selatan dan Felda Serting Hilir.

Ini merupakan insiden ketiga membabitkan kekecohan terhadap peserta Konvoi Oren. Sebelum ini kekecohan terhadap Konvoi Oren turut berlaku di Felda Lawin Selatan, Gerik Perak pada 03 November lepas dan di Felda Jengka 11 pada Ahad lalu.

Dalam kedua-dua kejadian itu penduduk Felda terbabit bertindak menghalang peserta konvoi daripada memasuki kawasan Felda tersebut.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...