MCA bantah harga siling telefon pintar RM500


Mohd Farhan Darwis, The Malaysian Insider

MCA menyuarakan bantahan terhadap penetapan harga siling telefon pintar bagi rebat RM200 kerana golongan belia hanya akan mendapat telefon pintar “cikai” pada harga tersebut.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menegaskan, penetapan harga RM500 dan ke bawah bagi pembelian telefon pintar untuk rebat yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2013 September lalu akan menyekat golongan belia untuk mengoptimumkan penggunaan telefon pintar tersebut.

“Saya tak setuju smartphone harga RM500 ke bawah … RM200 itu menunjukkan keprihatinan BN (Barisan Nasional) supaya pemuda kita optimakan penggunaan smartphone,” katanya kepada pemberita malam tadi.

Sepatutnya tiada harga siling … itu smartphone “cikai”, tak tahan lama,” tegasnya lagi.

Jelas Dr Chua, penetapan harga RM500 itu bukanlah satu keputusan yang baik walaupun seteru BN, pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai inisiatif sedemikian.

“Pada hemat saya itu keputusan tidak bijak … namun begitu kalau dibandingkan dengan PR kita lebih baik, mereka tak prihatin belia dalam bajet mereka,” katanya dan mengambil contoh PR tidak mensasarkan golongan belia dalam bajet mereka seperti tiada bantuan murid membeli buku, rebat untuk telefon pintar, serta menggalakkan golongan wanita menceburi perniagaan.

Najib ketika pembentangan Bajet 2013 mengumumkan rebat RM200 khas kepada golongan belia untuk pembelian telefon pintar.

Bagi tujuan itu, kerajaan BN telah memperuntukkan sebanyak RM300 juta untuk rebat yang layak diterima oleh golongan belia berusia lingkungan antara 21 hingga 30 tahun dan berpendapatan kurang RM3,000 bagi rebat tersebut.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini telah menetapkan bahawa rebat RM200 itu hanyalah untuk telefon pintar yang berharga maksimum RM500.

1.5 juta belia dijangka akan menerima manfaat daripada rebat tersebut.

 



Comments
Loading...