Kaum Cina hanya berminat dengan jawatan atasan, kata pengerusi SPA


Md Izwan, The Malaysian Insider

Salah satu faktor masyarakat Cina tidak berminat untuk memohon jawatan dalam perkhidmatan awam adalah kerana mereka lebih cenderung memilih jawatan atasan berbanding sektor perkeranian, kata pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Mahmood Adam dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Mahmood membentangkan laporan SPA bagi tahun 2012 merangkumi jumlah permohonan, perlantikkan dan tindakan tatatertib ke atas penjawat awam.

Sepanjang tahun 2012, hanya sebanyak 2,630 orang daripada masyarakat Cina dilantik mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam daripada jumlah keseluruhan 47,335 orang yang dilantik.

“Banyak faktor, sebagai contoh masyarakat Cina mereka lebih berminat dalam kumpulan atasan.

“Jika kita lihat jumlah pemilihan tadi iaitu kumpulan A yang terdiri daripada siswazah universiti, masyarakat Cina lebih fokus kepada bahagian itu kerana mereka mahu perlantikkan dengan cepat,” kata beliau selepas ditanya wartawan.

Walaupun terdapat peningkatan 11 peratus kaum Cina yang dilantik ke perkhidmatan awam jika dibandingkan pada tahun 2011, Mahmood berpendapat ia masih rendah dan pelbagai kempen perlu digiatkan bagi menarik mereka menyertai perkhidmatan awam.

“Sebagai contoh ialah kaum Cina tidak berminat di bahagian perkeranian.

“Jadi kita kena beritahu mereka kerana kerani juga memiliki gaji yang tinggi. Purata gaji kerani adalah antara RM1,700-1,800 yang bagi saya adalah satu angka yang besar,” terang beliau lagi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...