PAS tetap larang guna ‘Allah’


Keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama malam tadi yang dipengerusikan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta dihadiri Timbalannya Datuk Dr Haron Din.

(FMT) – Majlis Syura Ulama PAS Pusat sebulat suara bersetuju memutuskan penggunaan kalimah Allah tetap dilarang dalam mana-mana kitab agama bukan Islam.

Majlis Syura yang bermesyuarat malam tadi dan dipengerusikan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta dihadiri Timbalannya Datuk Dr Haron Din menegaskan penterjemahannya tidak  dibolehkan kerana bimbang ia membawa kekeliruan yang nyata.

“Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan kedalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.

“Demikian juga kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

“Oleh kerana itu menterjemahkan kalimah ‘God’ atau ‘Lord’ dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kepada kekeliruan yang nyata. Oleh itu ia hendaklah dicegah,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan Majlis Syura ini  bercanggah dengan Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat Selasa  lalu yang sepakat menyatakan bahawa penganut agama lain tidak dihalang daripada menggunakan perkataan tersebut dalam amalan mereka, dengan syarat ianya “tidak disalahgunakan.”

Sementara itu, Nik Aziz berkata Majlis Syura Ulama juga telah membincangkan isu sedutan amanat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Presiden memperjelas isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

 



Comments
Loading...