Kes saman Anwar-KJ selesai di luar mahkamah


Mahkamah juga tidak mengeluarkan perintah untuk kos

(Bernama) – Kes saman fitnah RM100 juta yang difail Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada 7 September  2007 diselesaikan hari ini selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Penyelesaian itu direkod Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam semasa kes disebut di hadapan beliau.

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Anwar memberitahu mahkamah kes itu diselesai memandangkan defendan (Khairy) bersedia untuk mengatakan beliau tidak mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan.

“Tiada perintah untuk kos,” katanya.

Hakim Su turut berterima kasih kepada kedua-dua pihak kerana menjimatkan masa mahkamah.

Perbicaraan kes itu yang bermula semalam sepatutnya disambung hari ini.

Anwar dalam samannya mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.



Comments
Loading...