`Nik Aziz tidak pernah buat `U Turn’


Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya sejak awal lagi setuju orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah.

(FMT) – Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak membuat sebarang `U Turn’ (tukar kenyataan) dalam isu penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam.

Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya sejak awal lagi setuju orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah, kata Setiausaha Akhbarnya Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau membuat kenyataan itu bagi menjawab laporan dua akhbar – New Straits Times dan Utusan Malaysia – yang  mendakwa Nik Aziz telah membuat `U Turn’ dalam isu tersebut.

“Suka untuk diingatkan bahawa tidak ada sebarang pusingan ‘U-Turn’ khususnya yang melibatkan Tuan Guru al-Mursyidul Am PAS dalam isu kalimah Allah ini.

“Ini dapat dilihat di dalam kenyataan awal beliau sebelum mesyuarat Majlis Syura berlangsung bahawa bukan Muslim perlu diberikan ruang untuk menggunakan kalimah Allah.

“Cuma (beliau) tidak bersetuju nama Allah menjadi terjemahan kepada perkataan God dalam Bible kerana ia tidak tepat, mengelirukan dan boleh membawa kepada silap faham.

“Inilah yang menjadi pegangan YAB Tuan Guru (Nik Aziz) dan beliau konsisten dengan pegangan ini.

“Dalam erti kata lain, tidak ada mana-mana pihak yang boleh menutup ruang golongan non (bukan) Muslim untuk menyebut nama Allah SWT dan merujuk nama tersebut sebagai Tuhan Semesta Alam dalam urusan seharian mereka,” kata Ahmad Fadhli lagi.

Nik Aziz, tambah beliau  membuat penegasan awal bahawa ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Syura atas sifatnya sebagai badan tertinggi parti.

Mesyuarat malah Ahad lalu memutuskan orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu.

 



Comments
Loading...