Budak diherdik dengan panggilan ‘keling bodoh’


http://english.cpiasia.net/images/2013/tanpa-prejudis.jpg 

Budak-budak lelaki Melayu yang saya perhatikan di taman permainan beberapa minggu yang lalu itu adalah salah satu hasil daripada rantaian interaksi pemimpin dan masyarakat ini. Adakah ini sikap bangsa Melayu yang ingin dipupuk pemimpin-pemimpin Umno, Perkasa dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain?

Zaki Samsudin, CPI 

Beberapa minggu yang lalu, saya telah membawa anak-anak ke taman permainan berhampiran tempat tinggal kami. Taman permainan itu agak luas. Di satu sudut, terdapat alatan permainan kanak-kanak – gelungsur, buaian, jongkang-jongket dan sebagainya – manakala di satu sudut lain terdapat tanah lapang yang walaupun tidak begitu luas, cukup untuk kanak-kanak lelaki bermain bolasepak.

Saya memang minat bolasepak dan suka melihat telatah kanak-kanak cuba mempamerkan skil masing-masing. Tatkala asyik memerhatikan mereka, saya baru sedar dalam kumpulan budak-budak lelaki sekitar 20 orang itu, terdapat seorang budak lelaki berbangsa India. Yang lain semuanya budak-budak Melayu.

Situasi sebegitu bukanlah ganjil sebenarnya. Memang kawasan perumahan itu majoriti penduduknya orang-orang Melayu. Yang ganjil dan amat memeranjatkan saya adalah sikap budak-budak Melayu terhadap budak India tunggal itu. Hampir kesemua mereka memanggilnya “budak keling”.

Bila dia tersilap tendang, diherdik pula dengan panggilan “keling bodoh”. Budak India itu walau bagaimanapun, tetap bersemangat mahu terus bermain. Malangnya dia dipinggirkan. Tidak ada yang mahu menghantar bola kepadanya. Dia cuba juga mengejar sedaya-upaya namun terus dibuli budak-budak yang lain. Tidak cukup dengan itu, tidak putus-putus dia diherdik dengan kata-kata kesat dan menghina.

Budak-budak lelaki yang saya perhatikan hari itu semuanya masih kecil. Pada amatan saya, semuanya berumur bawah 15 tahun. Kerana itulah saya terperanjat dengan sikap mereka terutamanya kata-kata kesat yang keluar daripada mulut mereka. Persoalannya, bagaimana mereka mampu bersikap sedemikian?

Dalam bidang sosiologi, setiap kelakuan manusia dikaji berdasarkan rangkaian interaksi antara agensi-agensi masyarakat daripada yang paling kecil hingga yang paling besar. Individu itu sendiri adalah agensi yang paling kecil, diikuti dengan ibubapanya, adik-beradik, sanak-saudara, jiran-jiran, guru-guru, tokoh-tokoh dan idola masyarakat, dan akhirnya sesebuah masyarakat itu sendiri secara am.

Sukar untuk kita tentukan adakah budak-budak Melayu yang saya ceritakan di atas, sikap dan kelakuan menghina yang mereka tunjukkan itu adalah hasil pengaruh ibubapa atau ahli-ahli keluarga terdekat. Itu hanya boleh ditentukan melalui kajian mikro psikologi personaliti dan psikologi sosial.

Namun kita boleh melihat kepada beberapa contoh kelakuan dan sikap di kalangan tokoh-tokoh masyarakat yang jikapun tidak banyak, pasti ada memberi pengaruh dan kesan.

Tingkah laku pemimpin masyarakat

Pada tahun 2007, ketika menghadiri sebuah program bersama pelajar-pelajar Malaysia di California, Amerika Syarikat, seorang menteri kabinet berbangsa Melayu telah dilaporkan mengeluarkan beberapa ungkapan yang dianggap menghina seorang pelajar berbangsa India. Dalam ucapannya, beliau menerangkan bagaimana pihak penjajah British membawa buruh India ke Tanah Melayu. Seraya berkata demikian, beliau memandang tepat ke arah seorang pelajar India di dalam dewan tersebut lalu berkata “that’s how we got Indians in Malaysia” (“kerana sebab itulah di Malaysia ada orang-orang India”).

Kemudian, pada tahun 2010, timbul pula laporan bagaimana seorang pengetua sekolah menengah kebangsaan di Johor, ketika berucap dalam perhimpunan khas sempena perayaan Hari Kemerdekaan, dengan lantang berkata pelajar-pelajar Cina tidak diperlukan di sekolah itu. Dicanang beliau agar pelajar-pelajar Cina berpindah ke sekolah Cina atau pulang sahaja ke negara Cina. Kepada pelajar-pelajar India beragama Hindu pula beliau berkata, tali sembahyang yang dipakai di lengan dan di leher umpama tali yang dipakai seekor anjing!

Dua contoh di atas adalah contoh kelakuan dan manifesti sikap yang ditonjolkan secara terbuka di khalayak ramai. Bayangkan apakah kata-kata yang mereka hemburkan dalam percakapan harian bersama ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan?

Pengetua sekolah menengah itu misalnya, kalau begitulah sikap beliau ketika berucap dalam perhimpunan, bayangkan sikap beliau ketika berbual bersama guru-guru (yang majoritinya berbangsa Melayu) atau ketika memarahi pelajar-pelajar berbangsa Cina dan India di pejabatnya? Bayangkan juga bagaimana sikap beliau ini boleh mempengaruhi guru-guru lain yang masih muda dan pelajar-pelajar Melayu di sekolah berkenaan?

Read more at: http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2470&catid=230&Itemid=193

 



Comments
Loading...