Mahasiswa Pasca ‘Listen, Listen, Listen’


http://www.projekdialog.com/wp-content/uploads/2013/01/resist-2-600x250.jpg 

Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah gambaran kecil kepada masalah besar isu kebebasan akademik dan mahasiswa. Masyarakat lebih gemar menuntut permohonan maaf dari saudari Sharifah daripada melihat kepada 2300 mahasiswa lain yang berada di dalam dewan dan bertepuk tangan. Kita bersikap reaktif lebih pantas daripada kita muhasabah sikap dan masalah kita sendiri.

Zul Fikri Zamir

“Be curious. Read widely. Try new things. I think a lot of what people call intelligence just boils down to curiosity.” – Aaron Swartz (1986-2013).

Swartz, pengasas bersama Reddit.com, bertanggungjawab mencipta kod RSS ketika berumur 14 tahun. Dia kemudiannya memimpin Demand Progress, pertubuhan aktivis yang mencabar undang-undang anti cetak rompak SOPA/PIPA yang dirangka oleh US Congress. Pada 2008, beliau mencipta sebuah program yang membolehkan orang awam memuat turun sehingga 20 juta fail dari laman PACER dan sekitar 4.8 juta fail akademik dari laman Jstor secara percuma.

Beberapa hari yang lalu, saya menulis sebuah surat terbuka kepada saudari Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin. Saya menulis kerana rasa sedih terhadap perkembangan dunia akademik serta hak mahasiswa yang telah dilanggar dengan begitu angkuh sekali. Dan perkara yang membuatkan saya paling kecewa ialah kerana ribuan mahasiswa Melayu-Islam bertepuk tangan ketika hak seorang mahasiswa India untuk bertanya dan memberikan pendapat dinafikan dengan cara yang paling naif sekali.

 

We Are All Sharifah Zohra           

Untuk mereka yang membaca lapis makna diantara surat tersebut, mereka akan dapat memahami tujuan saya menulis surat tersebut. Saya menulis bukan dengan niat untuk menanti balasan dari saudari Sharifah atau mahukan surat tersebut dibaca oleh beliau. Saya menulis dengan harapan mahasiswa akan bangkit dan sedar dari penjara indoktrinasi ideologi yang selama ini memenjarakan mereka.

Insiden ‘Listen, Listen, Listen’ ini sebenarnya bukan isu baharu. Semenjak Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan AUKU pada 1971, sistem ‘Listen, Listen, Listen’ ini dipasangkan ke dalam minda kita tanpa sedar. Hasilnya setelah 40 tahun indoktrinasi, ciri-ciri seperti ‘bongkak’, ‘tidak peduli’ dan ‘menurut arahan’ memang telah menjadi sebahagian dari budaya dan DNA kita.

Foucault di dalam makalahnya ‘Discipline & Punish: The Birth of the Prison’ (1975) menyatakan tentang kesan utama ‘Panoticism’ialah untuk memastikan banduan kekal dalam keadaan sedar tentang fungsi automatik kuasa ke atas mereka. Di dalam penjara berbentuk ‘Panoptic’ (mengambil konsep Jeremy Bentham), banduan sedar diri mereka diperhatikan melalui menara tanpa mengetahui siapa di dalam menara tersebut. Foucault menegaskan penjara sebagai mekanisme disiplin paling penting untuk meng-ilustrasikan disiplin sebagai alat kepada kuasa.

Melalui operator menara yang dikenali sebagai ‘anonymous power’, mekanisme pemantauan kekal tidak dikenali seterusnya memastikan projek ini efisien. Realitinya di Malaysia, saya melihat menara sebagai Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti, operator menara sebagai Menteri dari  Kementerian Pengajian Tinggi serta model penjara ‘panopticon’ sebagai AUKU dan mahasiswa kekal berada di dalam sel-sel penjara.

Tidak sukar untuk membuktikan perkara ini. Buka Facebook dan selongkar akaun rasmi persatuan mahasiswa universiti tempatan. Perbincangan mereka seringkali berkisar soal parking, asrama, harga makanan di cafetaria ataupun kursus kahwin. Untuk aktivis peringkat lebih tinggi, mereka berpolitik partisan pula. Saya tidak katakan perkara ini tidak bagus, tetapi mahasiswa harus sedar bahawa masyarakat lebih memerlukan mereka ketika mereka sibuk berpersatuan untuk mengadakan kursus kahwin.

Ironi bukan? Tidak gemar orang lain menyuarakan pendapat, tidak gemar perbahasan berat, sukakan perkara remeh temeh seperti ‘kucing ada masalah, anjing boleh menggonggong’ serta tidak suka mendengar pendapat orang lain; kita semua sebenarnya sama seperti Kak Listen. We Are All Sharifah Zohra.

 

‘Slacktivist’ & Budaya pop

Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah gambaran kecil kepada masalah besar isu kebebasan akademik dan mahasiswa. Masyarakat lebih gemar menuntut permohonan maaf dari saudari Sharifah daripada melihat kepada 2300 mahasiswa lain yang berada di dalam dewan dan bertepuk tangan. Kita bersikap reaktif lebih pantas daripada kita muhasabah sikap dan masalah kita sendiri.

Dalam situasi ini, apa gunanya jika saudari Sharifah membuat permohonan maaf sekalipun? Apakah selepas itu aktivis Twitter, pejuang Facebook dan semua ‘slacktivist’ ini akan kembali melayari laman Zalora.com, berkongsi fakta kucing melalui butang ‘share’ atau sibuk ketawa dengan 9gag.com dan kembali tidak peduli kepada masalah asas ketidakpedulian di kalangan mahasiswa?

Anak muda hanya mengambil kesempatan terhadap isu-isu sebegini untuk mensensasikan keadaan tanpa mengambil pengajaran darinya. Bermula dari insiden Adam Adli, demonstrasi mansuhkan PTPTN sehingga isu Kak Listen, hampir tiada satu gerakan terancang dijalankan oleh mahasiswa untuk mengubah norma dan cara berfikir di kalangan mahasiswa. Sampai bila mahasiswa akan terus-terusan mabuk dilambung ombak budaya pop sebegini?

 

Projek Dialog vs Projek Pembodohan

Penting sekali agar isu Kak Listen vs Bawani ini diperhalusi oleh setiap pemimpin mahasiswa di peringkat universiti serta gerakan-gerakan mahasiswa bersifat partisan atau non partisan dari segi ideologi dan ‘substance’ lebih dari bentuk material yang mereka lihat. Penghinaan fizikal yang dialami oleh Bawani sebenarnya menggambarkan betapa rancu dan rosaknya sistem hak asasi yang selama ini dipegang oleh pihak berkuasa dan diperlakukan sesuka hati oleh mereka.

Mahasiswa harus melihat isu ini dari sudut ‘the oppressed and the oppressor’ [yang tertindas dan yang menindas]. Paling penting indoktrinasi yang melibatkan penderaan mental ini akan menyebabkan mahasiswa tidak boleh berfikir sendiri sehingga sanggup menepuk tangan beramai-ramai ketika pendapat rakannya diperlekehkan. Paling serius, idea pendidikan percuma Bawani diperlekeh hanya menggunakan analogi haiwan 1 Malaysia, di dalam institusi pengajian tinggi dengan tepukan dan sorakan dari rakan-rakannya – ‘the so called intellectual’!  

Read more at: http://www.projekdialog.com/featured/mahasiswa-pasca-listen-listen-listen/ 



Comments
Loading...