Wan Ahmad bakal saman Mat Sabu, Harakah
Wan Ahmad didakwa terlibat dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan kerakyatan kepada warga asing.
Jamilah Kamarudin, FMT
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar akan memfailkan saman terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (Mat Sabu) kerana didakwa memfitnahnya terlibat dalam ‘Projek IC’ di Sabah pada tahun 1994.
Saman fitnah turut dikenakan terhadap lidah rasmi PAS, Harakah kerana menyiarkan artikel kenyataan Mat Sabu ‘Wan Ahmad tak boleh dipercayai’ dalam edisi 1-3 Februari 2012 di muka surat 30 dan terakhir akhbar itu.
Bakal diheret sama parti PAS, pencetak Angkatan Edaran Enterprise, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Luthfi Othman serta penulis Aziz Muda.
Mat Sabu dalam artikel terbabit mendakwa, Wan Ahmad pada ketika itu sebagai Pengerusi SPR Sabah terlibat dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan kerakyatan kepada warga asing untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri.
Mat Sabu dalam artikel terbabit turut berkata, Wan Ahmad berikutan dakwaan itu perlu meletakkan jawatan segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPR kerana beliau seorang yang tidak lagi boleh dipercayai.
Namun Wan Ahmad menegaskan, dirinya tidak pernah berkhidmat di Sabah sepanjang kariernya sebagai pegawai SPR seperti yang didakwa Mat Sabu.
Malah, katanya beliau belum lagi berkhidmat dalam SPR semasa ‘Projek IC’ itu berlaku.
“Ketika kejadian berlaku saya dan keluarga tidak ada dalam negara.
“Saya berkhidmat sebagai Menteri Penasihat di Kedutaan Malaysia di Washington, Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang media di kediamannya di sini.
Wan Ahmad menegaskan, beliau mula berkhidmat dalam SPR pada tahun 1998 sebagai setiausaha dan mula menjawat Timbalan Pengerusi SPR pada tahun 2005 sehingga sekarang.
“Isu yang diperkatakan jelas tiada langsung kaitan dengan saya,” katanya.
`Bukan saya’
Beliau berkata, individu ‘Wan Ahmad’ yang didakwa Mat Sabu itu bukan dirinya tetapi bekas Pengerusi SPR Sabah pada ketika itu, Wan Ahmad Wan Yusof.