Surat Niat Kepada Konsortium Zenith Sdn. Bhd.


http://www.mmail.com.my/sites/default/files/imagecache/large/Penang%20project.jpg 

Tidak Benar Sama Sekali Bahawa Projek RM6.3 Bilion Akan Dijalankan Oleh Syarikat RM2 Bila Sebenarnya Modal Berbayar Keseluruhan Adalah Sebanyak RM 4,549.2 Juta.

Sebagai Pengerusi Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan masing-masing, kami rasa kesal bahawa proses pemilihan tender yang dijalankan secara terbuka dan telus untuk 3 lebuhraya utama daripada Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) Persiaran Gurney ke Lebuhraya LCE  dan sebuah terowong bawah dasar laut daripada Persiaran Gurney dan Bagan Ajam telahpun dipersoalkan oleh pihak tertentu.

Kos projek ini dianggarkan oleh kerajaan sebanyak RM8 bilion. Akan tetapi selepas proses tender terbuka secara kompetitif dijalankan sejak 14.11.2011, surat niat telah dikeluarkan pada 6.2.2013 dengan harga lebih rendah iaitu sebanyak RM6.3 bilion, yang terendah di antara semua pembida yang diterima. Projek ini agak tersendiri dan unik kerana kos RM6.3 bilion dibiayai bukan dengan bayaran wang tunai tetapi menerusi “land swap” sebanyak 110 ekar di tanah tebus guna di Tanjung Pinang.

Memandangkan bayaran dibuat menerusi “land swap” dan bukan secara bayaran wang tunai, maka adalah perlu kontraktor berpakaran bekerjasama dengan pemaju. Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah special purpose vehicle (SPV) yang merupakan konsortium usahasama di antara syarikat kontraktor berpakaran dengan pemaju seperti berikut:- 

  • Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.5 juta dan RM 4 bilion masing-masing;
  • Beijing Urban Construction Group 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 541 juta;
  • Sri Tinggi Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.7 juta; dan
  • Juteras Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 1 juta.

Keseluruhan modal berbayar keempat-empat syarikat adalah RM4,549.2 juta yang memenuhi kriteria kerajaan negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM381 juta. Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd mempunyai modal berbayar RM2 kerana ditubuhkan khas untuk ini (SPV). Sekiranya tidak berjaya dalam tender maka syarikat ini akan dibubarkan.   Sebaliknya bila berjaya maka setiap rakan kongsi atau pemilik saham mestilah menandatangani surat penerimaan secara langsung dengan kerajaan negeri.

Surat niat atau “letter of intent” dikeluarkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd pada 6.2.2013 dan kesemua pemilik saham secara berasingan juga menandatangani surat  penerimaan. Dengan kata lain bukan hanya sepucuk surat penerimaan tetapi terdapat 4 lagi (5 kesemuanya) surat penerimaan untuk memastikan ia dijalankan oleh syarikat induk masing-masing dan bukannya hanya dengan Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd.

Oleh itu adalah tidak benar sama sekali bahawa projek RM6.3 bilion akan dijalankan oleh syarikat RM2, bila sebenarnya modal berbayar keseluruhan untuk keempat-empat syarikat yang jalankan projek ini adalah sebanyak RM4,549.2 juta.

Apabila kontrak formal dimuktamadkan iaitu selepas perbincangan butiran lanjut pada beberapa bulan lagi, semua syarikat rakan kongsi diperlukan untuk menandatangani surat perjanjian untuk memastikan projek ini dijalankan oleh syarikat induk yang berprestij. Perlu ditegaskan bahawa China Railway Construction Corporation Ltd dan Beijing Urban Construction Group adalah syarikat pembinaan gergasi di Negara China yang telah menjalankan projek besar keretapi, terowong dan juga Stadium Olimpik“Bird Nest” di Beijing.

Sebagai rumusan, proses penilaian teknikal dan pemilihan tender dijalankan secara profesional oleh jawatankuasa yang dipengerusikan masing-masing oleh Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri tidak melibatkan YAB Ketua Menteri. EXCO negeri hanya merestui syor bahawa tender dikeluarkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dibuat semasa ia dibentangkan kepada mesyuarat EXCO pada 30.1.2013.

 

Dato’ Farizan bin Darus,

Pengerusi Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang

 

Dato’ Mokhtar bin Mohd Jait,

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan

 



Comments
Loading...