‘Saya masih lagi setiausaha Zuraida, pegawai Anwar’


Fareez tidak pernah meletak jawatan dan juga tidak pernah disuruh untuk berhenti bertugas oleh kedua-duanya.

K Pragalath, FMT

Fareez Kamal Intidzam yang menulis surat kepada Presiden PAS, Datuk Seri  Abdul Hadi Awang menegaskan beliau masih Setiausaha Politik Ketua Wanita  PKR, Zuraida Kamaruddin dan Pegawai Diplomasi Sulit (Antarabangsa), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sehingga hari ini, saya masih lagi ahli PKR, Setiausaha Politik YB Zuraida dan Pegawai Diplomasi Sulit (Antarabangsa) buat Datuk Seri Anwar Ibrahim.Saya tidak pernah meletak jawatan dan juga tidak pernah disuruh untuk berhenti bertugas oleh kedua-duanya.

“Saya memahami situasi, keadaan dan alasan sehingga memaksa Zuraida untuk mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Sehingga hari ini juga, saya tetap komited bersama perjuangan Keadilan (PKR) dan sebagai ahli parti – adalah hak saya untuk bersuara, sejajar dengan perlembagaan parti yang ditetapkan,” kata Fareez yang menggesa Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berundur.

Gesaan itu mula tersebar apabila surat terbuka oleh Fareez Kamal diterbitkan di dalam laman Malaysia Today pada minggu lepas.

Surat itu ditujukan kepada Presiden PAS, Abdul Hadi  agar membantu menyelamatkan PKR daripada Wan Azizah dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Menurut Fareez, Wan Azizah dan Nurul mencemburui keakrabannya dengan Anwar  ekoran tugasnya sebagai pegawai diplomasi sulit hal ehwal antarabangsa.

Wan Azizah tidak layak

Sementara itu,  Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang mendakwa Fareez ialah bekas kakitangannya di parlimen.

Manakala sumber parti mendakwa bahawa Fareez bekerja hingga tahun 2008.

Fareez menambah bahawa Wan Azizah tidak layak memimpin PKR kerana tidak bertanding untuk sebarang kerusi parlimen.

Beliau sanggup menghadapi tindakan disiplin ekoran dari surat yang ditulisnya.

“Saya berharap Datin Seri Wan Azizah tidak memecat saya kerana adalah tanggungjawab buat saya untuk bercakap benar – bahawa Wan Azizah tidak layak untuk memimpin PKR menjelang pilihan raya akan datang kerana beliau sendiri tidak boleh bertanding kerusi parlimen.

“Di manakah maruah parti jika presiden sendiri tidak boleh bertanding? Namun, saya tetap bersedia dengan sebarang tindakan parti termasuk tindakan disiplin atau pemecatan,” katanya.

Beliau menambah bahawa akan membongkarkan perkara ini dengan lebih terperinci sekiranya diambil tindakan sebagai langkah mempertahankan diri.

Selain itu Fareez turut menegaskan bahawa kecemerlangan Pakatan Rakyat dan kelangsungan PKR perlu diutamakan berbanding dengan kepentingan Dr Wan Azizah.

 



Comments
Loading...