CheguBard mahu masuk UMNO…tolonglah pujuk dia‏


 

(FreeMalaysiakini) – LAMAN ini difahamkan bahawa CheguBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shahrin tidak akan dicalonkan bagi mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya akan datang.  Pencalonan bekas guru pelatih yang kemudian menyertai politik ini dilihat akan mencetus lebih banyak masalah kepada PKR, terutama dengan Ketua  Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang sudah sah akan bertanding di Parlimen Bukit Katil menentang calon BN yang disebut-sebut akan bertanding disitu iaitu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.

Bukan rahsia sejak kalah dalam pertandingan sengit merebut jawatan Ketua AMK pada 2010, hubungan Chegubard dan Shamsul Iskandar begitu renggang walaupun cuba didamaikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membawa kedua-dua mereka ke Indonesia untuk bertenang.  Kerenggangan itu kalau membabitkan mereka berdua sahaja tidak ada masalah, tapi apabila CheguBard menggunakan NGO SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia) yang dibiayai sepenuhnya oleh PKR untuk mensabotaj program Shamsul Iskandar, maka tindakan seumpama itu dilihat sudah keterlaluan.

Walaupun CheguBard semakin aktif menganjurkan program pro Pakatan Rakyat kebelakangan ini, dengan yang terbaru pelancaran Gerakan Haramkan UMNO (GHU) semalam, tapi tindakan itu lebih kepada untuk memberi tekanan kepada pimpinan PKR agar mencalonkannya di kerusi parlimen Nibong Tebal di Pulau Pinang, bukan untuk membantu parti dan Pakatan Rakyat.

Walaupun PKR Pulau Pinang telah menawarkan CheguBard supaya bertanding di kerusi selamat parti tersebut di Permatang Pauh, tapi CheguBard dengan bongkaknya menolak pencalonan tersebut atas sebab yang kurang difahami ramai.  Mungkin dia tidak mahu mengganggu kawasan yang asalnya telah dikhaskan kepada seorang lagi anak Anwar, Nurul Nuha.  CheguBard diketahui mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Parlimen Rembau yang ditandinginya pada 2008 menentang Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan tewas, telah diperuntukkan kepada PAS kerana pertukaran kerusi dengan Parlimen Jempol dimana PKR dilihat lebih mempunyai peluang untuk merampas kerusi yang ‘kaya’ dengan kawasan Felda tersebut.

Diakhirnya, Pengarah Pilihanraya PKR, Azmin Ali telah menyingkirkan terus nama CheguBard dari senarai calon PKR, banyak sangat soal jawab.

Tindakan Azmin menyingkirkan calon-calon yang pro Wan Azizah ini pun ada satu kisah yang layak dijadikan artikel juga, tapi itu nantilah.  Paling cepat petang ini, paling lambat pagi besok, kami akan hurai dan kupas isu ini berdasarkan maklumat yang diperolehi sumber laman ini yang rapat dengan kedua-dua kem tersebut.

Sekarang, suarapakatanrakyat.com menerima satu lagi perkhabaran bahawa CheguBard sedang cuba menjaja nasib kepada UMNO pula.  Kita yakin dia bukan menyokong UMNO sangat, tapi untuk mendapatkan perhatian dari pimpinan tinggi PKR yang lain, selain Azmin.

Laman ini berpandangan, walaupun CheguBard kurang mempunyai pengaruh di kalangan pengundi yang lebih tua, tapi dia ada kesan kepada pengundi yang lebih muda.  Maka itu tidak rugi kalau pimpinan PKR menghantar wakil memujuk CheguBard agar tidak meneruskan hasratnya itu.  Sebagai ganti, mungkin dia boleh dijanjikan jawatan sebagai duta Malaysia di mana-mana negara Eropah.

 



Comments
Loading...