Perbalahan Team Wan Azizah & Azmin Makin Parah
(Free Malaysiakini) – SEMALAM suarapakatanrakyat.com telah menyiarkan tentang gerakan untuk menjatuhkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali oleh Presiden PKR, Datin Seri Azizah Ismail. Gerakan yang diketuai oleh 2 Naib Presiden PKR, YB Tian Chua dan YB Nurul Izzah itu dilaporkan telah mula bergerak ke merata negara untuk memastikan calon-calon yang dipilih Azmin selaku Pengarah Pilihanraya PKR Pusat, adalah calon parti, bukan calon Azmin.
Sekarang ini, laman ini mendapati pertentangan tersebut telah melebar dengan lebih jauh lagi. Kalau dulu, semua pertikaian (kalau ada), dilakukan secara senyap-senyap, tapi kini perbalahan berhubung perebutan jawatan berlaku secara terang-terangan. Azmin yang bulan dulu menyebut Wan Azizah tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN dalam pilihanraya akan datang, terkejut dengan pengumuman Presiden PKR itu bahawa beliau akan bertanding di DUN Ijok.
Sebagai Pengarah Pilihanraya PKR Pusat, tindakan Wan Azizah ini sudah tentu membelakangi keputusan dan perancangan yang telah dibuat Azmin sekarang ini, walaupun sebagai Presiden PKR dan juga isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian.
Tapi sekurang-kurangnya berbincanglah dulu dengan Azmin sebelum membuat keputusan. Ijok walaupun hanya satu dari 56 kerusi DUN di Selangor, tapi mempunyai significant yang besar kepada masa depan Pakatan Rakyat di negeri tersebut kerana disitulah buat kali pertamanya seorang pemimpin bukan dari kalangan pemimpin BN/UMNO, dilantik menjadi Menteri Besar Selangor.
Apatah lagi ada laporan bahawa bekas wakil rakyat kawasan tersebut, K Parthiban dari MIC akan kembali bertanding di kawasan itu setelah dicalonkan dan tewas di Bukit Antarabangsa dalam pilihanraya umum 2008. Sudah tentu keputusan Wan Azizah ini memeningkan kepala Azmin dan merencatkan perancangan yang telah dibuat disitu.
Tindakan unilateral Wan Azizah membuat keputusan untuk bertanding bagi kerusi DUN di Selangor ini, selain merencatkan perancangan yang telah dibuat, turut menunjukkan perbalahan yang semakin melebar antara beliau dengan Azmin. Tidak setakat itu, perbalahan antara kedua mereka ini juga turut menyeret sama pemimpin-pemimpin PKR di dalam kumpulan masing-masing, terutama dalam soal penentuan calon.
Calon Parlimen PKR untuk kawasan Paya Besar yang diumumkan baru-baru ini, Murni Hidayah umpamanya adalah kenalan rapat kepada Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin yang berada di dalam kem Azmin. Maka itu tidak hairanlah kenapa dia dicalonkan di kawasan tersebut walaupun ada pemimpin lain yang lebih layak dan merupakan anak jati kawasan tersebut, tapi diketepikan kerana dikatakan berada di dalam kem Wan Azizah.
Kalau bukan Haji Zahari pun selaku Ketua Cabang Paya Besar, paling tidak calon yang tewas pada 2008, Mohd Jafri bin Abd Rashid yang juga Ketua Cabang PKR bagi kawasan Pekan. Kedua-dua mereka ini sudah dikenali masyarakat setempat, berbanding dengan Murni.
Itu hanya salah satu contoh yang wajar dijadikan iktibar. PKR dan Pakatan Rakyat berada pada kedudukan yang sungguh kuat untuk menjatuhkan BN kali ini, jangan kerana perbalahan dalaman seumpama ini, kita ditewaskan oleh UMNO dengan mudah.