Pakatan jangan tiru perangai BN


Pagi Ahad lalu, saya tidak mempunyai banyak pilihan. Untuk melihat sendiri situasi hari penamaan calon PRU13, saya terpaksa membataskan diri di sekitar Lembah Klang. Memang banyak kawasan tumpuan di luar Kuala Lumpur atau lebih tepat “kerusi panas”, namun urusan kerja pejabat tidak memungkinkan saya melakukan kembara politik yang lebih mendebarkan.

Pada sebelah malamnya, semasa menyemak Harakah edisi Isnin, fikiran saya lebih terfokus kepada persoalan, sama ada DAP dapat menggunakan simbol roket atau terpaksa berkongsi menggunakan logo  PAS berlambangkan bulan.

Rata-rata kawan-kawan yang menelefon atau mengirim SMS meluahkan rasa seronok dan gembira dengan perkembangan itu. Mereka pastinya sudah muak dan jelak dengan budaya politik adu domba yang menyemai kebencian atau kecurigaan di antara kaum dan agama.

Apatah lagi anak-anak muda yang baru berjinak-jinak dengan siyasah, tentunya mereka lebih sukar menerima politik kebencian seumpama itu. Saya menerima banyak pertanyaan melalui emel dan SMS. Daripada soalan yang dikemukakan, saya yakin mereka suka jika esoknya DAP terpaksa menggunakan lambang bulan. Dan malam Sabtu itu, saya hanya dapat melelapkan mata kurang 45 minit sebelum azan Subuh.

Tentulah lokasi paling dekat dan mudah adalah  Dewan Ahmad Razali, Ampang, hanya kira-kira 2 kilometer dari rumah. Sahabat saya, Khasim Abdul Aziz akan mempertahankan kerusi Dun Lembah Jaya.

Tidak jauh dari situ, pertembungan menarik di Parlimen Pandang, apabila Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli, tokoh muda yang berjaya membongkar pelbagai salahguna dan penyelewengan kerajaan BN, dengan bukti dan fakta kukuh, ditentang Gary Lim.

Awal-awal lagi Rafizi telah mendakwa berlaku salahlaku etika dan pelanggaran peraturan guaman oleh Gary Lim, yang menggantikan bekas Presiden MCA, Ong Tee Kiat.

Namun yang lebih dekat di hati saya ialah kawasan Parlimen Titiwangsa, satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS di Wilayah Persekutuan pada 2008. Ia bukan hanya difaktorkan oleh kemanisan Parti Islam menang di tengah kotaraya, tetapi ingatan saya yang masih segar kepada lagenda Almarhumah Dr Lo’Lo’ Mohd Ghazali. Dr Lo’Lo’ sentiasa dikenang sebagai seorang tokoh wanita hebat, berkebolehan, tegas dan berani mempertahankan prinsip.

Saya juga berhasrat untuk menunjukkan sokongan kepada peguam muda, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi, 37, Pengarah Jabatan Undangh-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat, yang juga terbabit aktif membela penduduk Kampung Baru, satu usaha mulia yang dirintis Dr Lo’Lo’.

Malah kalau diberi pilihan, saya turut teruja untuk melihat suasana di Lembah Pantai. Nurul Izzah Anwar, yang dilihat penganalisis sebagai pemimpin masa depan, dan mungkin mencatat sejarah sebagai PM wanita pertama di Malaysia, berdepan situasi sukar, terutama selepas terdedah begitu ramai pengundi yang meragukan di “kerusi panas” itu.

Bagaimanapun, tanpa perlu banyak berfikir, naluri saya lebih tergerak untuk ke Presint 9, Putrajaya, walaupun jaraknya paling jauh berbanding kerusi-kerusi yang saya sebut di atas.

Saya sampai agak lewat. Rakan saya terpaksa mencari parkir yang agak jauh. Pusat penamaan calon agak berbukit. Jenuh juga mendaki sambil bertongkat. Untuk kes pilihan raya umum, apatah lagi di kawasan yang tidak pernah terfikir untuk dimenangi PAS, kehadiran boleh disifatkan ramai dan meriah.

Beberapa individu yang menegur saya semasa berjalan perlahan menuju lokasi tumpuan rupanya datang daripada tempat yang lebih jauh daripada saya. Ada daripada Ijok, Gombak, Tanjong Malim dan Sabak Bernam. Masing-masing berwajah ceria, rancak bercerita tentang peluang, sekali gus menitip keyakinan Husam Musa  bakal melakar sejarah tersendiri.

“Warga Putrajaya ramai, lebih kurang 100,000 tetapi yang berdaftar sebagai pengundi di sini, hanya sekitar 16,000. Kalau dibuat referendum atau pungutan suara semua warga Putrajaya, saya yakin majoriti akan memilih Pakatan,” kata seorang rakan, juga lulusan Universiti Teknologi Malaysia.

“Kakitangan kerajaan di sini sudah dikepung, susah bagi Husam nak tembusi. Jalan paling baik ialah pendekatan bersemuka,” celah saya. “Tapi tuan, tidak mustahil PAS boleh buat kejutan,” kata seorang lagi, yang begitu mengambil berat tentang perkembangan kesihatan saya.

“Memang segalanya tiada yang mustahil dalam politik, tapi saya lebih melihat Husam sebagai simbol keberanian baru,” pintas saya, sambil menekankan pandangan peribadi yang amat mengharapkan tokoh seperti Husam perlu berada di Parlimen atau berperanan lebih penting di Kelantan.

Saya tertarik dengan mukadimah tulisan Subkyu Abdul Latif sehari selepas itu: “Ketika Pakatan Rakyat sedang mara ke Putrajaya, Husam Musa pergi ke situ dulu seolah-olah dia menunggu dan menyambut ketibaan ekspedisi itu.

“…Tiada siapa berfikir Anwar Ibrahim akan meninggalkan kawasan Permatang Pauhnya dan Ustaz Abdul Hadi Awang akan mengosongkan Marang untuk bertanding di Putrajaya. Lim Kit Siang yang suka mengejutkan berubah tempat bertanding pun tidak akan ke Putrajaya.”

Tengahari Sabtu itu, saya meninggalkan Putrajaya dengan penuh kelegaan walaupun saya perhatikan lebih banyak bendera PAS berkibar dari atas kenderaan penyokong yang meningalkan pusat pentadbiran negara itu, dan bukannya dari atas rumah-rumah kediaman di sana!

Namun, belum pun sampai di rumah, saya cukup terganggu apabila dimaklumkan, sekurang-kurangnya tujuh kerusi menyaksikan pertembungan sesama sendiri, antara PAS dan KeADILan. Fikiran saya agak bercelaru selepas mendapat SMS, calon PAS juga bertanding di kerusi Dun Kota Damansara, berdepan penyandang, Dr Nasir Hashim, yang juga Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Kebingungan” saya sedikit reda apabila seorang teman, bekas Adun Umno yang tidak terpilih semula, menelefon: “Rakan saudara, Hanipa Maidin berpeluang menang di Parlimen Sepang. Dua orang kuat Umno Sepang, AJK bahagian, Hanapiah Mohamad dan bekas Ketua Pemuda Umno negeri, Suhaimi Mohd Ghazali, bertanding menentang Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, Mohd Zin Mohamed.”

Rakan saya semasa di kampus dulu, pertengahan 1980-an, Che Johan Che Pa, yang sepatutnya mengemukakan borang calon BN menarik diri untuk memberi laluan kepada “bapanya”, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali. Dan banyak lagi kisah hampir serupa membabitkan Umno-BN.

Apa pun, saya lebih mengharapkan tempoh sepuluh hari terakhir kempen ini dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku pada Sabtu lalu. Rakyat, khususnya pengundi muda tidak dapat menerima kecelaruan itu, yang memungkinkan mereka membuat kesimpulan mudah: “Pakatan yang nak menang ini pun dah tiru perangai buruk BN.” — (HARAKAH DAILY)

 



Comments
Loading...