PKR beri Zahid 24 jam dedahkan pemimpin Pakatan yang dikatakan dalang insiden Lahad Datu


Mohd Farhan Darwis, TMI

PKR hari ini menggesa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendedahkan nama tiga pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang dikatakan menjadi dalang kepada insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Naib Presidennya, N. Surendran menegaskan sekiranya Ahmad Zahid (gambar) gagal mengemukakan nama-nama berkenaan, ia jelas menunjukkan itu adalah “fitnah” yang dimainkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Amat mengejutkan Zahid Hamidi gagal memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan liar dan berbahaya itu.

“Kenyataan itu jelas untuk menyebabkan kemusnahan politik kepada Pakatan Rakyat ketika menjelang pilihan raya umum ke 13 ini,” kata Surendran dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, agensi berita nasional Bernama melaporkan Kementerian Pertahanan telah mengenalpasti tiga pemimpin pembangkang yang menjadi dalang kepada insiden pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

“Apa yang boleh saya katakan, dua daripada pemimpin pembangkang itu daripada Semenanjung dan seorang lagi daripada Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak mendedahkan nama pemimpin pembangkang tersebut, sebaliknya berkata pihaknya tidak mahu dianggap oleh sesetengah pihak tertentu sebagai permainan politik, maka segala tindakan akan dilakukan sejurus selepas pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden Umno itu juga menegaskan segala maklumat dan butir-butir mengenai dalang tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya

“Ia adalah cubaan untuk mengalih perhatian daripada kegagalan kerajaan BN menangani insiden Lahad Datu yang berlarutan sehingga beberapa bulan,” tegas Surendran yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

 



Comments
Loading...