‘Pakatan jangan serang kawan sendiri’


Gelagat pemimpin Pakatan yang saling membidas melalui kenyataan media dilihat sebagai tindakan yang tidak bijak, kata Dr Dzulkefly Ahmad. 

Jamilah Kamarudin, FMT

Pakatan Rakyat perlu segera berhenti menyerang antara satu sama lain kerana ia hanya akan merugikan setiap undi  rakyat buat mereka.

“Kalau perkara ini berlaku hari-hari kita asyik buka pekung, saya rasa kita akan kalah dan buang masa yang sepatutnya dengan hanya nak lawan sesama sendiri,” kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad hari ini.

Dzulkefly dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini berkata, gelagat pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat yang saling membidas melalui kenyataan media dilihat sebagai tindakan yang tidak bijak.

Beliau turut mengingatkan semula bahawa satu-satunya jalan untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) ialah hanya melalui penggabungan Pakatan Rakyat selain sokongan daripada rakyat sendiri.

Calon PAS Parlimen Kuala Selangor itu berkata, pemimpin Pakatan tidak perlu melayan atau mengeluarkan sebarang komen terhadap rakan komponen lain jika ianya bersifat peribadi dan bukannya mewakili pendirian parti.

“Selama ini kita percaya dengan gabungan Pakatan untuk menyingkirkan BN tapi sebaliknya kita serang satu sama lain.

“Perkara ini perlu dihentikan dan saya harap ia dapat difahamkan kalau anda komited untuk menumbangkan BN,” tegasnya.

Sabtu lalu, Pengerusi DAP Johor Norman Fernandez menyeru pengundi bukan Islam supaya jangan undi PAS kerana agenda negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Pandangan Norman itu turut disokong AJK DAP Kedah S Neelamekan yang mendakwa PAS perlu melupakan hasrat untuk membentuk negara Islam jika tidak mahu kehilangan undi daripada penyokong DAP dan masyarakat bukan Islam.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...