Siapa Bakal Ketua Menteri Melaka?


https://encrypted-tbn2.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcQlVtQFFLCC91AI744HNzZSfIUBDrykTNJKM74LKbUk0FWUoKvW-A 

Sekiranya diizinkan Allah swt salah seorang dari mereka ditakdirkan menjadi Ketua Menteri Melaka, tiada apa transformasi pun yang saya nampak akan berlaku.

anonymous

Penamaan calon BN telah berlalu pada 20hb. April 2013. BN Negeri Melaka telah menampilkan beberapa kerat muka baru sebagai calon DUN. Ia juga telah mencalonkan ‘caretaker’ Ketua Menteri Melaka yang sedia ada iaitu Mohd. Ali Rustam bertanding di Parlimen Bukit Katil, sekaligus menamatkan spekulasi jawatan Ketua Menteri Melaka yang telah beliau sandang sejak PRU 11 lagi. Adakah kerjaya politik beliau nampak lebih cerah sebagai Ahli Parlimen dan memegang jawatan kerajaan pusat setelah 3 penggal menerajui kerajaan Negeri Melaka? Wallahualam.

Dengan pemergian beliau ke pusat, secara automatik jawatan Ketua Menteri Melaka perlu diisi dikalangan bakal Ahli-Ahli Yang Berhormat dari Dewan Undangan Negeri Melaka. Nama yang paling popular disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Melaka ialah Datuk Idris Haron yang bertanding di DUN Sg. Udang, meninggalkan kerusi Ahli Parlimen Tangga Batu yang disandang beliau sebelum ini. Pencacai-pencacai politik yang selama hari ini mencari rezeki menerusi Datuk Mohd. Ali Rustam telah berpindah sokongan ke DUN Sungai Udang. Bilik-bilik gerakan disekitar DUN Sg. Udang sentiasa penuh dan seperti Pesta Mandi Safar yang dahulu sungguh popular di pantai Tanjung Keling yang kebetulan berada di Parlimen Tangga Batu.

Nama kedua yang juga hebat disebut-sebut ialah Ketua Bahagian Alor Gajah iaitu Datuk Ghafar Atan yang akan bertanding di DUN Asahan. Walaupun tidak mempunyai pendidikan yang setaraf dengan Datuk Idris Haron, namun mempunyai kelebihan sebagai ahli Exco yang senior.

Nama ketiga yang tidak kurang hebat yang juga disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri Melaka ialah Datuk Yunus Husin yang akan bertanding di DUN Ayer Molek di bawah Parlimen Bukit Katil yang ditandingi oleh Datuk Mohd. Ali Rustam. Terdapat juga nama lain seperti Hassan Rahman (bertanding DUN Sungai Rambai), dan sebagainya yang juga berangan dan merasakan diri layak untuk menyandang jawatan Ketua Menteri Melaka.

Sebagai rakyat biasa, apa yang saya nampak ialah kesemua nama-nama di atas mempunyai satu persamaan, iaitu mereka ini adalah kroni dan juga anak didik Datuk Mohd. Ali Rustam. Sekiranya diizinkan Allah swt salah seorang dari mereka ditakdirkan menjadi Ketua Menteri Melaka, tiada apa transformasi pun yang saya nampak akan berlaku. Segala kesalahan urus tadbir, kronisme, tatacara pemberian kontrak, kewujudan GLC negeri yang membazir, salah guna kuasa dan sebagainya akan hanya berlanjutan seperti sebelum PRU 13.

Saya adalah penyokong tegar UMNO dan BN dan pernah menjawat jawatan AJK Bahagian UMNO. Saya ingin mengupas beberapa salah laku urus tadbir oleh Datuk Mohd. Ali Rustam sebagai Ketua Menteri Melaka yang telah menyebabkan merosotnya sokongan rakyat kepada BN, khususnya pegawai-pegawai kerajaan yang telah melalui pengalaman-pengalaman pahit selama bertugas di bawah Datuk Mohd. Ali Rustam.

AGIB Holdings – AGIB Holding di miliki oleh Datuk Abdul Ghafar Ibrahim yang berasal dari Sabah yang boleh dikatakan mendapat banyak projek-projek di negeri Melaka. Saya tidak merasa irihati walaupun sedikit terhadap beliau kerana yang pertama saya tidak mengenali beliau dan  kedua, saya bukan ahli perniagaan. Yang ingin saya ketengahkan disini ialah cara Datuk Mohd. Ali Rustam mengendalikan pemberian kontrak kepada  AGIB Holdings.

Melaka Digital Mall

Seperti yang seluruh rakyat negeri Melaka tahu, AGIB telah diberi kontrak untuk membina Melaka Digital Mall yang terletak bersebelahan Stadium Hang Tuah di Jalan Hang Tuah, Melaka. AGIB, yang tiada keupayaan teknikal dan pengurusan telah gagal melaksanakan kontrak tersebut sehingga kelewatan menyiapkan projek tersebut menjadi isu politik yang hangat. Kontrak AGIB telah ditamatkan setelah gagal disiapkan dan satu tender telah dipanggil untuk menyiapkan projek terbengkalai tersebut. Sungguh tidak diduga, kontraktor yang telah mendapat tender tersebut ialah AGIB sendiri dengan harga yang lebih tinggi. Alasan Datuk Mohd. Ali Rustam apabila diasak wartawan berkenaan isu ini ialah AGIB telah mendapat pinjaman bank bagi menyiapkan projek tersebut yang sebelum ini gagal diperolehi.

Projek Bunded Storage oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB)

Projek ini juga telah dianugerahkan kepada AGIB atas arahan Datuk Mohd. Ali Rustam. Seperti lazimnya, projek ini juga gagal dilaksanakan dengan sempurna oleh AGIB. Kelewatan dan cara kerja AGIB yang tidak sempurna telah menyebabkan objektif projek ini tidak dapat dicapai. Sehingga kini, projek ini masih belum disiapkan dan SAMB bercadang untuk menamatkan kontrak AGIB ini.

Projek Extreme Park di Chinchin, Jasin oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ)

AGIB sekali lagi dianugerahkan projek yang dibiayai Kementerian Pelancongan ini, walaupun prestasi projek-projek dalam tangan mereka amat tidak memuaskan pegawai-pegawai kerajaan, atas arahan Datuk Mohd. Ali Rustam. Mutu kerja dan pengurusan yang kucar kacir telah memeningkan kepala pegawai-pegawai MPJ. Tanyalah pegawai-pegawai MPJ bagaimana teruknya AGIB melaksanakan projek yang mudah ini.

Projek Kereta Kabel di Banda Hilir, Melaka oleh PKNM

AGIB sekali lagi diberi projek, atas arahan Datuk Mohd. Ali Rustam, untuk membina kereta kabel menghubungkan Banda Hilir dengan Pulau Melaka dan bekas tapak Eye on Malaysia diseberang Sg. Melaka berdekatan bangunan CIQ. Walaupun projek ini belum dimulakan pembinaan nya, pegawai-pegawai telah mula mengeluh apabila AGIB diberi kontrak pembinaan ini. Masalah-masalah projek Monorel (projek pelancongan di tebing Sg. Melaka) yang dibina dan dipasang oleh AGIB, yang selalu rosak dan memalukan Melaka masih menghantui pegawai-pegawai kerajaan khususnya dari MBMB dan PKNM. Projek Kereta Kabel ini juga, kalau mengikut pengalaman mereka, akan menimbulkan banyak masalah operasi sekiranya AGIB masih tidak berubah sikap mereka.

Projek Perumahan Mewah Sultanate di Ayer Keroh, Melaka

Projek perumahan ini, yang dibina di atas tanah kerajaan yang dijual murah kepada AGIB, masih lagi dalam pembinaan setelah lebih 6 tahun dijalankan. Jualan adalah amat tidak memuaskan kerana mutu pembinaan rumah yang telah siap amatlah rendah. Banjir kilat yang selalu berlaku di MITC di depan Rumah Media adalah kerana AGIB gagal membina sistem perparitan utama yang telah di syaratkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Nama AGIB adalah menjadi satu liabiliti bagi UMNO dan BN Negeri Melaka. Pembekal dan kontraktor Melaka kebanyakannya tidak mahu melibatkan syarikat mereka dengan AGIB kerana AGIB adalah ‘a very bad paymaster’.  Itu adalah salah satu faktor utama mengapa projek-projek AGIB selalunya gagal. Kenapa Datuk Mohd. Ali Rustam masih mengekalkan AGIB sebagai kroninya dan memberi berbagai-bagai projek kepada AGIB walaupun AGIB tidak berkeupayaan hanya boleh dijawab oleh beliau sendiri.  Kalau hendak menaikkan Melayu Melaka, AGIB bukan Melayu Melaka tetapi orang Sabah.


Projek-Projek Membazir Datuk Mohd. Ali Rustam


Projek Eye on Malaysia di sebelah Muara Sg. Melaka

Umum telah ketahui bahawa Kerajaan Negeri Melaka atas arahan Datuk Mohd. Ali Rustam telah membeli Ferris Wheel dari sebuah syarikat yang mengendalikannya berdekatan Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur setelah kontrak mereka dengan sebuah syarikat Eropah tamat. Satu jalan penghubung dari Taman Kota Laksamana berdekatan jambatan besar Sg. Melaka ke tapak projek telah di bina oleh MBMB untuk menjadi jalan penghubung ke tapak Eye on Malaysia ini. Projek Eye on Malaysia ini telah dipasang dan telah beroperasi apabila satu keputusan mahkamah dikeluarkan supaya Kerajaan Negeri Melaka memulangkan Eye on Malaysia tersebut kepada syarikat Eropah kerana masalah pembayaran yang tidak dibuat oleh syarikat pengendali Tasik Titiwangsa tersebut. Alangkan malunya Kerajaan Negeri Melaka kerana telah membeli barang ‘haram’ dan terpaksa memulangkan semula Ferris Wheel tersebut. Apa jadi dengan bayaran yang telah dibuat?

Melaka Air

Projek Melaka Air adalah bukti betapa rakusnya Datuk Mohd. Ali Rustam menggunakan wang kerajaan untuk mewujudkan satu perniagaan berisiko tinggi yang tidak akan dilaksanakan oleh mana-mana ahli perniagaan yang waras. Melaka Air telah ditubuhkan sebagai satu perniagaan pengangkutan penerbangan tanpa ada kajian mengenai untung rugi dan ‘viabiliy’. Pada permulaannya, Yayasan Melaka telah diarahkan untuk menerajui operasi Melaka Air dengan mewujudkan destinasi-destinasi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam yang baru siap bina. Pesawat telah disewa dari Firefly dengan destinasi ke Medan, Penang dan Subang. Oleh kerana sambutan amat dingin, jabatan- jabatan dan agensi kerajaan telah diarahkan untuk menghantar pegawai-pegawai mereka ke Medan untuk memenuhkan pesawat menggunakan wang kerajaan. Selepas itu, sambutan masih lagi dingin dan khabar terbaru ialah Melaka Air akan membeli pesawat 16 seater sebagai cara untuk mengurangkan sewa dari Firefly. Inilah cara Datuk Mohd. Ali Rustam mentadbir seolah-olah beliau adalah Sultan Melaka yang mempunyai kuasa mutlak ke atas pegawai kerajaan dan dana negeri.

Pentadbiran Negeri Melaka yang kucar kacir

Datuk Ali juga terkenal dengan cara beliau melantik CEO agensi-agensi kerajaan mengikut sesuka hati beliau tanpa mempedulikan tatacara dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Pegawai-pegawai kerajaan dipindahkan dari satu jabatan atau agensi ke jabatan atau agensi yang lain mengikut kehendak beliau sendiri tanpa memikirkan akibat kepada pegawai atau jabatan atau agensi kerajaan itu sendiri.

Melaka Invest

Melaka Invest telah ditubuhkan dengan objektif untuk menarik pelaburan ke Negeri Melaka. Sebelum ini, peranan ini adalah dibawah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka PKNM tetapi  bagi meletakkan penyokong-penyokong tegar beliau menerajui GLC sebagai sumber rezeki mereka, Datuk Mohd. Ali Rustam sanggup meletakkan seorang yang hanya berkelulusan SPM Gred 3 untuk menerajui Melaka Invest dengan gaji bulanan yang agak besar. Orang yang diamanahkan untuk menarik pelabur-pelabur asing ini tidak fasih berbahasa Inggeris dan telah memalukan Negeri Melaka apabila satu surat jemputan beliau bagi menarik pelabur asing mempunyai kesilapan bahasa yang amat-amat menjengkelkan dan menjadi bahan ketawa oleh rakyat Negeri Melaka.

Datuk Mohd. Ali Rustam telah mengkucar kacirkan pelantikan pegawai-pegawai kerajaan negeri apabila beliau dengan sewenang-wenangnya memindahkan pegawai-pegawai berikut tanpa merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Datuk Zainal Abu – Seorang Jurutera skim perkhidmatan tertutup Yayasan Melaka telah dipindahkan dari Yayasan Melaka ke PKNM dan sekarang sebagai Datuk Bandar MBMB.

Datuk Zaini Mohd.  Noor – Seorang pegawai skim perkhidmatan tertutup PKNM telah dipindahkan dari PKNM ke MBMB sebagai Datuk Bandar pertama MBMB.

Datuk Md. Sirat Abu – Seorang yang bukan penjawat awam telah dilantik menjadi YDP MPMBB sebelum Melaka diisytiharkan sebagai bandaraya.

Datuk Md. Yunos Husin – Seorang.jurutera skim perkhidmatan tertutup PKNM telah dipindahkan sebagai Pengarah Kejuruteraan MPMBB sebelum dicalonkan sebagai ADUN dan Exco.

Datuk Yusof Jantan – Seorang yang bukan penjawat awam telah dilantik sebagai Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Bandar MBMB dan sekarang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PKNM.

Ir. Baharam Mohd. – Seorang Jurutera skim perkhidmatan tertutup PKNM telah dipindahkan sebagai Pengarah Kejuruteraan MBMB, Pengurus Besar SAMB, Pengurus Besar Yayasan Melaka dan sekarang memegang jawatan baru sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM.

Datuk Sarabuddin Kudus – Seorang pegawai MAIM dan sekarang menjadi Pengurus Besar Yayasan Melaka. Atas arahan Datuk Mohd. Ali Rustam dan kesediaan Datuk Sarabuddin Kudus, Yayasan Melaka sekarang ini berhutang lebih RM400 juta.

Masalah Aliran Tunai yang Kritikal

Kerajaan Negeri Melaka telah mengalami masalah aliran tunai yang serius sejak Datuk Mohd. Ali Rustam menerajui negeri Melaka. Pegawai Kewangan Negeri terpaksa meminta bantuan dari SAMB, PKNM dan Yayasan Melaka bagi membantu menyelesaikan masalah aliran tunai, lebih-lebih lagi apabila tiba masa untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.

Kesinambungan dan Legasi Datuk Mohd. Ali Rustam

Setelah meneliti cara pentadbiran Datuk Mohd. Ali Rustam di atas, besar kemungkinan sesiapa dikalangan anak didik beliau, terutamanya Datuk Idris Haron, apabila dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang baru, akan mengekalkan legasi beliau, kroni-kroni beliau dan cara-cara beliau.

Apabila nama-nama besar ini mengambil alih, apakan transformasi yang akan mereka bawa selain dari meneruskan agenda Datuk Mohd. Ali Rustam? Pentadbiran akan tetap kucar kacir. Tender akan diberi kepada kroni-kroni tanpa mengikut prosedur yang betul, Projek penswastaan akan tetap dimiliki oleh AGIB walaupun dengan harga yang tidak munasabah.

Sekiranya Datuk Idris Harun menjadi Ketua Menteri, adakah beliau akan mentadbir sebagaimana beliau mentadbir Syarikat Perumahan Negara Bhd? Adakah beliau akan mengambil alih projek walaupun beliau tahu projek tersebut akan merugikan Kerajaan sebagaimana beliau menyelamatkan kroni beliau iaitu Datuk Mustaza Osman, tuan punya projek perumahan terbengkalai di Tangkak. Walaupun telah dinasihatkan oleh pegawai-pegawai beliau yang Syarikat Perumahan Negara akan mengalami kerugian sekiranya mengambil alih projek terbengkalai ini, namun demi kawan dan kroni, segala nasihat pegawai tidak diambil kira yang akhirnya membawa kerugian kepada SPNB.

Kalau di organisasi yang kecil begini telah mengamalkan system kroni, saya tidak tahu lah sekiranya diberi peluang untuk mentadbir sebuah negeri dengan dugaan yang lebih mengiorkan. Saya rasa tidak perlu lah saya sebut mengenai Equaltra dan juga setiausaha beliau. Akhirnya Melaka akan ditadbir serupa  mengikut acuan dan cara mentor dan guru beliau, Datuk Mohd. Ali Rustam. Berserabut dengan masaalah.

Kalau bukan Datuk Idris Haron,  mengapa tidak Datuk Ghafar Atan? Saya cukup mengenali beliau kerana saya sekampung dengannya. Saya telah berkawan dengan beliau semenjak beliau menjadi Ketua Pemuda Bahagian lagi. Saya mengenali beliau luar dan dalam, tetapi itu Ghafar Atan yang dulu, yang memandu Isuzu Trooper buruk. Datuk Ghafar Atan hari ini memandu Lexus, bermain golf diwaktu pejabat, pemilik tak rasmi Nada Ceka Sdn. Bhd., Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka dan bercakap hanya RMjuta dan RMbillion sahaja. Sekiranya beliau menjadi Ketua Menteri Melaka, saya tidak tahu lah bagaimana beliau akan mentadbir. Apa yang saya tahu, beliau tidak mempunyai kelulusan yang tinggi, tidak lebih dari SPM gred 3 dan sekiranya ada ijazah Masters seperti yang digembar gemburkan, ianya tidak lebih sekadar ijazah Masters yang dibeli dengan harga RM 5,000 dari internet. Bagaimana hendak mengagihkan projek-projek pengswastaan dan juga tender tanpa memihak kepada Nada Cekal  Sdn. Bhd., dimana anak beliau memiliki syarikat ini sepenuhnya? Bagaimana pula kerja-kerja yang baru dianugerahkan oleh kerajaan melalui JPS iaitu projek Saliran Bandar Melaka dengan harga RM34 juta ? Bagaimanakah pegawai-pegawai yang akan menyelia  projek ini yang mana ianya dimiliki oleh Ketua Menteri Melaka?

Yang saya nampak berpelajaran di Bahagian Bukit Katil ialah Datuk Md.Yunus Husin tetapi beliau juga adalah anak didik Datuk Mohd. Ali Rustam yang telah mengambil tanah-tanah orang kampung untuk kepentingan sendiri. Tanah-tanah yang tidak dibayar cukai telah di rampas disekitar Air Molek tetapi akhirnya dipohon dan dibeli oleh kroni-kroni beliau. Bayangkan sekiranya beliau menjadi Ketua Menteri Melaka, legasi dan cara Datuk Mohd. Ali Rustam akan dikekalkan. Apa akan jadi dengan bumi Hang Tuah ini?

Mengikut cerita ahli-ahli politik di PWTC, senarai calon yang telah dicadangkan oleh Pengerusi BN telah digugurkan dengan ugutan oleh Datuk Mohd. Ali Rustam untuk ditukar kepada calon-calon yang beliau kehendaki, termasuklah calon Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Idris Haron. Calon yang telah diputuskan oleh Pengerusi BN sebagai Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Ahmad Hamzah yang sepatutnya diletak bertanding DUN Serkam, telah diminta oleh Datuk Mohd. Ali Rustam untuk bertanding Parlimen Jasin, sekaligus melepaskan peluang Datuk Ahmad Hamzah untuk menjadi calon Ketua Menteri Melaka.

Saya sendiri tidak faham politik Datuk Mohd. Najib yang gagal memantau perlakuan Datuk Mohd.Ali Rustam. Adakah sebagai Perdana Menteri, beliau perlu akur dengan kehendak seorang Ketua Menteri yang pernah didapati bersalah melakukan rasuah politik wang? Adakah beliau perlu tunduk dengan ugutan Ketua Menteri Melaka untuk kali kedua?

Hari ini, sambil mamandu di sekitar Bandaraya Bersejarah Melaka, saya terlihat sepanduk dan poster DAP yang terpampang perkataan “ Kerajaan Baru, Impian Baru”. Saya juga mempunyai impian untuk mempunyai “ Ketua Menteri Baru, Impian Baru” dengan memadamkan legasi dan cara pentadbiran kucar kacir Datuk Mohd. Ali Rustam.

Ini adalah kali ke 7 saya mengundi dan sebagai penyokong BN, saya tidak pernah memberi undi saya kepada pembangkang.  Ini mungkin kali terakhir saya akan menyokong BN sekiranya segala transformasi yang dilaungkan hanya berbentuk retorik yang bertujuan untuk menipu rakyat dan menguntungkan kroni dan membiarkan rasuah bermaharajalela. Saya tidak peduli siapa yang akan menjadi Ketua Menteri  Melaka, tetapi sekiranya ianya diambil dikalangan anak-anak didik Datuk Mohd. Ali Rustam yang akan menyambung legasi kucar kacir dan rakus dan menggalakkan lagi rasuah, undi saya dan kaum keluarga saya akan pergi ke parti pembangkang.  Saya juga yakin, sekiranya Perdana Menteri yang ada hari ini tidak melakukan perubahan dengan telus dari hati beliau, ini mungkin akan menjadi penggal terakhir BN sebagai kerajaan.

Setiap kali penyokong PAKATAN melaungkan “Ubah”, saya juga melaungkan slogan yang sama, kerana saya percaya dan yakin, perubahan boleh dilakukan dari dalaman UMNO. Sekiranya kita gagal kali ini, tidak akan ada “sekali lagi”.

 



Comments
Loading...